Dokumentasi kastam untuk pengiriman antarabangsa
Pengiriman antarabangsa yang merentasi sempadan kastam diisytiharkan kepada pihak berkuasa kastam di negara destinasi. Apabila anda mencipta label untuk pengiriman tersebut dalam Shopify, pengisytiharan tersebut dibina daripada butiran pada produk dan pesanan anda.
Ketiadaan butiran kastam atau butiran kastam yang tidak tepat boleh menahan pengiriman di sempadan, menambahkan duti yang tidak dijangka atau menghalang label daripada dicipta sama sekali.
Pada halaman ini
Butiran kastam yang diperlukan
Sebelum anda boleh mencipta label untuk pengiriman yang memerlukan pengisytiharan kastam, setiap item dalam pengiriman memerlukan butiran yang berikut:
- Kod Sistem Terharmoni (Harmonized System, HS) yang mengandungi sekurang-kurangnya 6 digit. Ketahui lebih lanjut tentang menambahkan kod HS pada produk anda.
- Negara atau rantau asal, iaitu tempat item dikilangkan.
- Perihalan bagi barang tersebut.
- Kuantiti item.
- Nilai item.
- Berat item.
Anda boleh menambahkan kod HS dan negara asal pada halaman produk, semasa pembelian label, dengan menggunakan penyunting pukal atau melalui fail CSV inventori. Butiran yang anda simpan pada sesuatu produk digunakan semula pada setiap label antarabangsa untuk produk tersebut.
Pertimbangan untuk dokumentasi kastam
Sebelum anda membuat pengiriman antarabangsa, semak pertimbangan yang berikut:
- Item tersuai yang anda tambahkan secara langsung pada pesanan tidak mempunyai halaman produk, jadi anda memasukkan kod HS item tersebut semasa pembelian label.
- Alamat ketenteraan dan diplomatik Amerika Syarikat dianggap sebagai antarabangsa, jadi pengiriman ke alamat Pejabat Pos Tentera (Army Post Office, APO), Pejabat Pos Armada (Fleet Post Office, FPO) atau Pejabat Pos Diplomatik (Diplomatic Post Office, DPO) memerlukan butiran kastam.
- Jika anda menggunakan Managed Markets, kod HS diuntukkan pada produk anda dan tidak boleh diedit.
- Jika anda menjual produk pengguna yang dikawal selia ke Amerika Syarikat, maka pengiriman anda mungkin juga memerlukan data eFiling CPSC untuk melepasi kastam.
Perihalan barang pada pengisytiharan kastam
Perihalan pada pengisytiharan kastam anda biasanya datang daripada kod HS bagi item dan bukannya daripada tajuk produk anda. Setiap kod HS membawa perihalan standard yang diiktiraf oleh pihak berkuasa kastam, jadi perihalan tersebut boleh menjadi lebih panjang atau lebih teknikal berbanding dengan nama yang diketahui oleh pelanggan anda. Jika perihalan standard tidak tersedia untuk kod tersebut, maka nama produk atau nama item tersebut akan digunakan.
Anda boleh mengedit perihalan dalam bahagian Edit maklumat kastam semasa pembelian label. Perihalan yang diedit hanya digunakan pada label tersebut dan tidak disimpan pada produk untuk pengiriman yang seterusnya.
Sesetengah pengangkut memendekkan perihalan yang panjang agar muat dengan had aksara bagi sistem mereka sendiri dan hal ini dijangkakan.
Item tersuai tidak mempunyai halaman produk untuk diambil butirannya, jadi perihalan item tersebut sepadan dengan nama item yang anda masukkan pada pesanan.
Borang kastam dan invois komersial
Pengiriman antarabangsa boleh memerlukan dua jenis kertas kerja:
- Borang kastam mengisytiharkan barangan yang terdapat di dalam pengiriman. Sesetengah pengiriman memerlukan borang bercetak dan ada yang menyerahkan pengisytiharan tersebut secara elektronik. Ketahui lebih lanjut tentang mencetak borang kastam dan pertimbangan untuk mencetak borang kastam.
- Invois komersial menyatakan nilai pengiriman dan terma penghantaran. Ketahui lebih lanjut tentang mencipta invois komersial.
Beberapa pengangkut menyerahkan dokumentasi kastam secara elektronik untuk destinasi yang menyokong fungsi tersebut, oleh itu, anda hanya perlu mencetak label pengiriman. Untuk mengetahui destinasi yang layak untuk pengangkut anda, rujuk DHL Express, DHL Express di Kanada atau UPS.
Jika pemandu meminta kertas invois komersial untuk pengiriman yang dokumentasinya diserahkan secara elektronik, maklumkan kepada mereka bahawa invois tersebut telah dihantar kepada pengangkut bersama-sama label. Jika pemandu tersebut masih memerlukan salinan kertas, anda boleh mencipta salinan tersebut dengan alat invois pengangkut anda sendiri.
Penyelesaian masalah maklumat kastam
Jika pengisytiharan kastam menghalang anda daripada mencipta label, semak isu biasa dan penyelesaian yang berikut.
Tambahkan berat item pada pengisytiharan kastam untuk melihat perkhidmatan pengiriman
Jika mesej ini dipaparkan apabila anda mencipta label antarabangsa, maka item dalam pesanan tersebut tidak mempunyai berat.
- Dalam bahagian Item, klik Edit maklumat kastam.
- Tambahkan berat untuk setiap item.
- Tambahkan mana-mana kod HS serta negara atau rantau asal yang tertinggal.
- Klik Simpan.
Perkhidmatan pengiriman dipaparkan selepas setiap item dalam pesanan mempunyai berat, kod HS serta negara atau rantau asal.
Selesaikan masalah ketiadaan kod HS atau negara asal pada pembelian label
Apabila pengiriman memerlukan pengisytiharan kastam, anda tidak boleh mencipta label pengiriman tersebut sehingga setiap item mempunyai kod HS serta negara atau rantau asal. Tambahkan maklumat tersebut dalam bahagian Edit maklumat kastam dan kemudian pilih Simpan maklumat pengiriman pada butiran produk supaya item yang sama tidak memerlukannya lagi pada pengiriman anda yang seterusnya.
Untuk mengetahui tempat bagi mendapatkan kod yang terpakai pada produk anda, rujuk menambahkan kod HS pada produk anda.
Selesaikan masalah kod HS yang kehilangan titik perpuluhannya
Anda boleh memasukkan kod yang melebihi 6 digit, seperti kod 10 digit. Titik perpuluhan dialih keluar apabila kod disimpan, jadi 1234.56.78.90 disimpan sebagai 1234567890. Hal ini dijangkakan dan digit disimpan dalam susunan anda memasukkannya.
Jika anda mengedit berat item pada borang kastam dan anda masih tidak dapat mencipta label tersebut, rujuk penyelesaian masalah label pengiriman.