Menggunakan kunci laluan

Kunci laluan ialah pengganti kata laluan yang lebih selamat yang membolehkan anda log masuk dengan muka, cap jari, PIN atau kunci skrin anda. Ciri ini membolehkan anda log masuk ke akaun tanpa memasukkan kata laluan dan direka bentuk agar lebih pantas dan ringkas berbanding kata laluan. Penggunaan kunci laluan menyingkirkan kemungkinan untuk terlupa dan perlu menetapkan semula kata laluan atau memasukkan kata laluan yang salah yang menyebabkan akaun anda disekat.

Penggunaan kunci laluan boleh membantu anda mengelak daripada penipuan pancingan data serta kecurian kata laluan anda.

Anda boleh menambahkan kunci laluan menggunakan mana-mana kaedah yang anda gunakan untuk menyahkunci peranti anda, seperti cap jari atau pengecaman wajah, atau PIN peranti. Ketahui lebih lanjut tentang kunci laluan dan pengesahan dua langkah.

Tempat kunci laluan disimpan

Kunci laluan berfungsi dengan cara yang sama tidak kira tempat penyimpanannya. Perbezaannya hanyalah peranti yang boleh anda gunakan untuk mengakses kunci laluan tersebut. Dalam bahagian Kunci laluan pada tab Keselamatan, kunci laluan ditandakan sebagai Disegerakkan merentasi peranti atau Hanya pada peranti apabila maklumat tersebut tersedia.

  • Disegerakkan merentasi peranti: Kunci laluan disimpan pada pengurus kata laluan, seperti iCloud Keychain atau Google Password Manager. Anda boleh menggunakan kunci laluan tersebut pada mana-mana peranti tempat anda log masuk kepada pengurus kata laluan itu, dan kunci laluan ini tidak akan hilang walaupun peranti anda hilang atau digantikan.
  • Hanya pada peranti: Kunci laluan disimpan pada peranti tersebut sahaja dan tidak pernah dialih keluar, jadi anda hanya boleh menggunakan kunci laluan tersebut pada peranti itu. Jika anda menjangka untuk log masuk daripada komputer yang tidak mempunyai pengurus kata laluan anda atau kunci lalaunya sendiri, maka cipta kunci laluan pada peranti kedua dan simpan pada telefon anda.

Peralihan antara telefon dan komputer anda ialah sebab yang lazim untuk menyemak tempat kunci laluan disimpan. Kunci laluan yang ditunjukkan sebagai Disegerakkan merentasi peranti tersedia pada kedua-duanya, apabila anda log masuk pada pengurus kata laluan yang sama untuk setiap peranti tersebut. Kunci laluan yang disimpan hanya pada telefon anda masih boleh digunakan untuk log masuk pada komputer dengan cara menggunakan kunci laluan daripada peranti lain, dan kunci laluan tersebut akan kekal pada telefon anda. Jika anda kerap log masuk dari komputer yang sama, cipta kunci laluan pada komputer tersebut juga, supaya anda tidak perlu mengimbas kod QR setiap kali log masuk.

Kunci laluan dan pengesahan dua langkah

Kunci laluan menggantikan kata laluan anda. Kunci laluan bukanlah kaedah pengesahan dua langkah, dan kedua-duanya disediakan dan dialih keluar secara berasingan.

  • Menambahkan atau mengalihkan keluar kunci laluan tidak menukar kaedah pengesahan dua langkah pada akaun anda.
  • Menambahkan atau mengalihkan keluar kaedah pengesahan dua langkah tidak menukar kunci laluan pada akaun anda.

Sediakan pengesahan dua langkah sebagai tambahan kepada kunci laluan anda. Hal ini memberi anda cara kedua untuk mengesahkan akaun anda apabila kunci laluan anda tidak tersedia, dan memastikan akaun anda dilindungi walau dengan apa-apa cara sekalipun anda log masuk.

Cipta kunci laluan

Anda boleh mencipta lebih daripada satu kunci laluan, dan menyimpan kunci laluan tersebut pada peranti atau platform yang berbeza. Cipta kunci laluan kedua sebagai sandaran. Jika anda hilang akses kepada peranti atau pengurus kata laluan yang menyimpan satu-satunya kunci laluan anda, maka kunci laluan kedualah yang akan menghalang anda daripada kehilangan akses kepada akaun anda. Ketahui lebih lanjut tentang tempat kunci laluan disimpan.

Anda memerlukan alamat e-mel yang disahkan untuk mencipta kunci laluan. Jika alamat e-mel anda tidak disahkan, maka butang Cipta kunci laluan tidak tersedia dan anda akan digesa untuk mengesahkan e-mel akaun anda terlebih dahulu.

Langkah:

Desktop
  1. Daripada pentadbir Shopify anda, klik nama kedai anda.

  2. Klik profil anda, kemudian klik Keselamatan.

  3. Dalam bahagian Kunci laluan, klik Cipta kunci laluan.

  4. Jika anda digesa untuk membuat pengesahan, sahkan akaun anda, dan kemudian klik Seterusnya.

  5. Dalam prom pelayar, klik Teruskan (Continue), dan kemudian buat pengesahan dengan menggunakan mana-mana kaedah yang anda gunakan untuk menyahkunci peranti anda, seperti Windows Hello atau Touch ID.

  6. Pilihan: Untuk menambahkan sandaran, cipta kunci laluan pada peranti kedua.

Mudah Alih
  1. Daripada aplikasi Shopify, ketik ikon akaun anda di penjuru kanan sebelah atas.

  2. Ketik Menu > Urus akaun.

  3. Ketik Keselamatan.

  4. Dalam bahagian Kunci laluan, ketik Cipta kunci laluan.

  5. Jika anda digesa untuk membuat pengesahan, sahkan akaun anda, dan kemudian ketik Seterusnya.

  6. Ketik Teruskan (Continue), dan kemudian sahkan dengan Face ID, cap jari, atau kod laluan mahupun kunci skrin peranti anda.

  7. Pilihan: Untuk menambahkan sandaran, ulang langkah ini pada peranti lain yang anda gunakan untuk log masuk, seperti komputer anda.

Selepas kunci laluan dicipta, kunci laluan tersebut akan ditambahkan pada bahagian Kunci laluan di tab Keselamatan akaun Shopify anda, berserta tarikh kunci laluan dicipta dan tempat penyimpanannya.

Cipta kunci laluan pada peranti kedua

Menyimpan kunci laluan pada lebih daripada satu peranti bermakna anda tidak disekat daripada log masuk apabila anda hilang akses kepada peranti pertama. Perkara ini paling mustahak apabila satu-satunya kunci laluan anda disimpan pada komputer, kerana kunci laluan yang hanya disimpan pada komputer tidak boleh digunakan untuk log masuk di tempat lain. Mulakan langkah ini pada komputer, dan pastikan telefon atau tablet yang ingin anda gunakan untuk menyimpan kunci laluan berada berdekatan, kerana peranti tersebut perlu mengimbas kod QR.

Langkah:

  1. Daripada pentadbir Shopify anda, klik nama kedai anda.

  2. Klik profil anda, kemudian klik Keselamatan.

  3. Dalam bahagian Kunci laluan, klik Tambahkan kunci laluan lain.

  4. Pada prom pelayar atau peranti, pilih pilihan untuk menyimpan kunci laluan menggunakan cara lain, seperti Simpan cara lain (Save another way).

  5. Pilih pilihan untuk menggunakan peranti lain, seperti Gunakan telefon atau tablet (Use a phone or tablet).

  6. Hidupkan Bluetooth pada kedua-dua peranti, imbas kod QR dengan peranti yang anda mahu gunakan untuk menyimpan kunci laluan tersebut, dan kemudian ikut prom pada peranti itu.

Log masuk dengan kunci laluan

Dari halaman log masuk Shopify, gunakan salah satu daripada kaedah berikut untuk log masuk:

Gunakan Daftar masuk dengan kunci laluan

Anda boleh menggunakan aliran Daftar masuk dengan kunci laluan untuk log masuk ke akaun Shopify anda dengan pantas dan selamat menggunakan kunci laluan yang disimpan.

Langkah:

Desktop
  1. Klik Daftar masuk dengan kunci laluan untuk membuka kotak dialog isi auto.
  2. Klik kunci laluan yang disimpan yang ingin anda gunakan. Jika digesa, gunakan Touch ID anda.
Mudah Alih
  1. Ketik Daftar masuk dengan kunci laluan.
  2. Ketik kunci laluan yang disimpan. Jika digesa, sahkan dengan Face ID, cap jari atau kod laluan peranti.

Gunakan alamat e-mel anda

Anda boleh memasukkan alamat e-mel anda dan kemudian log masuk menggunakan kunci laluan.

Langkah:

Desktop
  1. Masukkan alamat e-mel anda dan klik Teruskan dengan e-mel.
  2. Pilih kunci laluan yang mahu anda gunakan. Jika anda digesa, gunakan Touch ID anda.
Mudah Alih
  1. Masukkan alamat e-mel anda dan ketik Teruskan dengan e-mel.
  2. Ketik kunci laluan yang disimpan.

Gunakan kunci laluan daripada peranti lain

Langkah:

Desktop
  1. Pada peranti anda, cuba log masuk menggunakan kunci laluan.
  2. Daripada prom pelayar anda, pilih pilihan untuk menggunakan kunci laluan dari peranti lain, dan kemudian ikuti arahan pada skrin untuk memaparkan kod QR di skrin.
  3. Dengan menggunakan peranti mudah alih tempat kunci laluan anda disimpan, imbas kod QR.
  4. Untuk melog masuk dengan lebih pantas pada masa akan datang, cipta kunci laluan pada komputer yang sedang anda gunakan.
iPhone
  1. Pada peranti anda, ketik Daftar masuk dengan kunci laluan.
  2. Jika perlu, ketik Pilihan lain (Other options) atau yang serupa, dan kemudian ikuti arahan pada skrin untuk memaparkan kod QR.
  3. Gunakan peranti yang mempunyai kunci laluan anda untuk mengimbas kod QR.

Untuk butiran lanjut, ikut arahan yang disediakan oleh Apple.

Android
  1. Pada peranti anda, ketik Daftar masuk dengan kunci laluan.
  2. Apabila digesa, pilih untuk menggunakan kunci laluan daripada peranti lain untuk memaparkan kod QR.
  3. Gunakan peranti yang mempunyai kunci laluan anda untuk mengimbas kod QR.

Jika anda ingin log masuk pada peranti berbeza menggunakan kunci laluan yang disimpan dalam Chrome, ikut arahan yang disediakan oleh Google.

Sahkan akaun anda dengan kunci laluan

Beberapa tindakan dalam pentadbir Shopify meminta anda mengesahkan akaun anda sebelum anda boleh melengkapkannya, seperti menukar tetapan keselamatan anda. Mengesahkan akaun tidak sama dengan melog masuk. Prom tersebut akan meminta kaedah log masuk paling selamat yang disetkan pada akaun anda, oleh hal yang demikian prom tersebut boleh menawarkan pilihan berbeza daripada halaman log masuk.

  • Jika akaun anda mempunyai kedua-dua kunci laluan dan kaedah pengesahan dua langkah, maka anda boleh menggunakan mana-mana daripadanya untuk membuat pengesahan.
  • Jika kunci laluan ialah satu-satunya kaedah daftar masuk selamat pada akaun anda, maka kunci laluan itulah satu-satunya cara untuk membuat pengesahan. Untuk menghilangkan prom tersebut apabila anda tidak boleh menggunakan kunci laluan, alihkan keluar kunci laluan tersebut.

Ketahui lebih lanjut tentang penyelesaian masalah bagi prom pengesahan dalam pentadbir Shopify.

Alih keluar kunci laluan

Anda boleh mengalihkan keluar kunci laluan dari tab Keselamatan. Untuk menyelesaikan proses pengalihan keluar ini, anda mungkin digesa untuk mengesahkan akaun anda. Jika kunci laluan ialah satu-satunya kaedah daftar masuk yang selamat dan akaun anda wajib mempunyai satu kaedah sebegitu, maka anda tidak boleh mengalihkan keluarnya sehingga anda menyediakan kaedah alternatif.

Jika kunci laluan telah dicipta untuk anda secara automatik, maka mengalihkan keluar kunci laluan tersebut dari tab Keselamatan juga akan mengelakkan kunci laluan lain dicipta untuk anda apabila anda log masuk pada masa akan datang.

Semasa anda log masuk ke akaun anda

Langkah:

Desktop
  1. Daripada pentadbir Shopify anda, klik nama kedai anda.

  2. Klik profil anda, kemudian klik Keselamatan.

  3. Dalam bahagian Kunci laluan, klik Alih keluar di sebelah kunci laluan yang ingin anda alih keluar.

  4. Jika anda digesa, sahkan akaun anda menggunakan salah satu kaedah yang disediakan pada akaun anda.

Mudah Alih
  1. Daripada aplikasi Shopify, ketik ikon akaun anda di penjuru kanan sebelah atas.

  2. Ketik Menu > Urus akaun.

  3. Ketik Keselamatan.

  4. Dalam bahagian Kunci laluan, ketik Alih keluar di sebelah kunci laluan yang ingin anda alih keluar.

  5. Jika anda digesa, sahkan akaun anda menggunakan salah satu kaedah yang disediakan pada akaun anda.

Apabila anda dilog keluar daripada akaun anda

Jika anda tidak dapat menggunakan kunci laluan yang ingin anda alih keluar, log masuk dengan kaedah yang masih berfungsi dan kemudian alih keluar kunci laluan tersebut.

Langkah:

  1. Dari halaman log masuk Shopify, masukkan alamat e-mel anda dan klik Teruskan dengan e-mel.
  2. Klik Log masuk menggunakan kaedah berbeza dan kemudian pilih kaedah lain yang disediakan pada akaun anda: kata laluan anda, kod pakai buang yang dihantar ke alamat e-mel anda atau perkhidmatan log masuk pihak ketiga seperti Log masuk dengan Google atau Log masuk dengan Apple.
  3. Selepas anda log masuk, alih keluar kunci laluan daripada tab Keselamatan.

Jika tiada kaedah log masuk anda yang berfungsi, tetapkan semula kata laluan anda. Menetapkan semula kata laluan anda mengalih keluar kunci laluan pada akaun anda, dan mana-mana perkhidmatan log masuk pihak ketiga seperti Log masuk dengan Google atau Log masuk dengan Apple, yang boleh anda tambahkan semula selepas anda log masuk. Jika anda mencipta akaun anda dengan perkhidmatan log masuk pihak ketiga dan tidak pernah menetapkan kata laluan, maka tiada kata laluan untuk ditetapkan semula dan halaman log masuk tidak memaparkan Lupa kata laluan?. Ketahui lebih lanjut tentang penyelesaian masalah log masuk apabila anda tidak dapat menggunakan kunci laluan anda.

Penyelesaian masalah kunci laluan

Kunci laluan hanya berfungsi di tempat ia disimpan, jadi kebanyakan masalah kunci laluan berpunca daripada peranti, pelayar atau pengurus kata laluan yang sedang anda gunakan. Semak tempat kunci laluan anda disimpan terlebih dahulu, kemudian pilih masalah yang sedang anda alami.

Selesaikan masalah kunci laluan yang tidak ditawarkan apabila anda log masuk

Jika kunci laluan anda tidak ditawarkan apabila anda cuba log masuk, kunci laluan tersebut tidak tersedia pada peranti, pelayar atau pengurus kata laluan yang sedang anda gunakan. Kunci laluan hanya berfungsi di tempat ia disimpan. Ketahui lebih lanjut tentang tempat kunci laluan disimpan.

Langkah:

  1. Jika anda menyimpan kunci laluan pada pengurus kata laluan, pastikan anda log masuk ke pengurus kata laluan tersebut pada peranti yang sedang anda gunakan dan pengurus kata laluan itu dihidupkan untuk kunci laluan.
  2. Jika anda menyimpan kunci laluan ke komputer, gunakan komputer tersebut untuk log masuk. Kunci laluan yang disimpan hanya pada komputer tidak boleh digunakan untuk log masuk pada peranti lain.
  3. Jika anda menyimpan kunci laluan pada telefon atau tablet, anda boleh menggunakannya untuk log masuk pada komputer dengan mengimbas kod QR. Ketahui lebih lanjut tentang penggunaan kunci laluan daripada peranti lain.
  4. Jika ralat Kunci laluan ini sama ada dipadamkan atau dialih keluar selepas kata laluan ditetapkan semula. Gunakan kaedah log masuk lain untuk meneruskan. dipaparkan, maka kunci laluan tiada lagi pada akaun anda. Log masuk dengan kaedah lain dan kemudian cipta kunci laluan.
  5. Jika anda tidak lagi memiliki peranti tempat kunci laluan itu disimpan, rujuk selesaikan masalah peranti hilang yang menyimpan kunci laluan anda.
Selesaikan masalah penciptaan kunci laluan

Jika butang Cipta kunci laluan tidak tersedia, jika prom ditutup tanpa menyimpan kunci laluan atau jika ralat Penambahan kunci laluan tidak tersedia. Cuba gunakan pelayar berbeza atau pilih kaedah lain. dipaparkan, maka semak keperluan untuk mencipta kunci laluan.

Langkah:

  1. Pastikan alamat e-mel anda disahkan. Butang Cipta kunci laluan tidak tersedia selagi e-mel belum disahkan. Ketahui lebih lanjut tentang cara mengesahkan e-mel akaun anda.
  2. Pastikan pelayar anda menyokong kunci laluan. Ketahui lebih lanjut tentang platform dan sistem pengendalian yang menyokong kunci laluan pada masa ini.
  3. Pastikan peranti anda mempunyai kunci skrin yang disediakan, seperti cap jari, nyahkunci wajah atau PIN. Pada PC, ini ialah Windows Hello dan pada Mac, ini ialah Touch ID. Tanpa kunci skrin, pelayar anda tidak boleh menyimpan kunci laluan pada peranti.
  4. Jika komputer yang sedang anda gunakan tidak mempunyai kunci skrin, sebaliknya cipta kunci laluan pada peranti kedua dan simpannya ke telefon anda.
Selesaikan masalah prom pengesahan yang tidak menerima kunci laluan anda

Sesetengah tindakan dalam pentadbir Shopify meminta anda mengesahkan akaun anda, dan prom meminta kaedah daftar masuk paling selamat yang disediakan pada akaun anda. Mengesahkan tidak sama seperti log masuk, jadi prom mungkin menawarkan pilihan yang berbeza berbanding dengan halaman log masuk.

Langkah:

  1. Jika akaun anda mempunyai kaedah pengesahan dua langkah serta kunci laluan, seperti aplikasi pengesah, gunakan kaedah tersebut untuk menyelesaikan prom. Pilihan yang ditawarkan bergantung pada kaedah yang disediakan pada akaun anda.
  2. Jika kunci laluan ialah satu-satunya kaedah daftar masuk yang selamat pada akaun anda, maka prom hanya boleh diselesaikan dengan menggunakan kunci laluan tersebut. Untuk menyelesaikannya, alih keluar kunci laluan daripada akaun anda.
  3. Rujuk penyelesaian masalah prom pengesahan dalam pentadbir Shopify untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Selesaikan masalah log masuk apabila anda tidak dapat menggunakan kunci laluan anda

Kunci laluan merupakan salah satu daripada beberapa cara untuk log masuk, jadi mulakan dengan kaedah lain yang disediakan pada akaun anda.

Langkah:

  1. Dari halaman log masuk, masukkan alamat e-mel anda, klik Teruskan dengan e-mel, dan kemudian klik Log masuk menggunakan kaedah berbeza. Pilih kaedah lain yang disediakan pada akaun anda: kata laluan anda, kod pakai buang yang dihantar ke alamat e-mel anda atau perkhidmatan log masuk pihak ketiga seperti Log masuk dengan Google atau Log masuk dengan Apple.
  2. Selepas anda log masuk, alih keluar kunci laluan yang tidak dapat anda gunakan, kemudian cipta kunci laluan baharu.
  3. Jika tiada kaedah log masuk anda yang lain berfungsi, maka tetapkan semula kata laluan anda. Menetapkan semula kata laluan anda mengalih keluar kunci laluan pada akaun anda, berserta sebarang perkhidmatan log masuk pihak ketiga, yang boleh anda tambahkan semula selepas anda log masuk.
  4. Jika anda mencipta akaun anda dengan perkhidmatan log masuk pihak ketiga, seperti Log masuk dengan Google atau Log masuk dengan Apple, dan anda tidak pernah menetapkan kata laluan, maka tiada kata laluan untuk ditetapkan semula dan halaman log masuk tidak memaparkan Lupa kata laluan?. Log masuk dengan perkhidmatan tersebut untuk mengalih keluar kunci laluan.
  5. Jika anda tidak dapat log masuk selepas mencuba langkah ini, hubungi Sokongan Shopify.
Selesaikan masalah peranti hilang yang menyimpan kunci laluan anda

Jika peranti yang menyimpan kunci laluan anda hilang, rosak, dijual atau ditetapkan semula, sama ada anda masih boleh menggunakan kunci laluan tersebut bergantung pada tempat ia disimpan.

Jika kunci laluan disimpan pada pengurus kata laluan anda dan bukan sahaja pada peranti tersebut, log masuk ke pengurus kata laluan yang sama pada peranti lain dan kemudian gunakan kunci laluan di situ. Jika kunci laluan disimpan pada peranti itu sahaja, log masuk dengan kaedah lain yang disediakan pada akaun anda, seperti kata laluan anda atau perkhidmatan log masuk pihak ketiga, kemudian alih keluar kunci laluan dan cipta kunci laluan baharu.

Jika kunci laluan ialah satu-satunya cara anda untuk log masuk, rujuk penyelesaian masalah log masuk apabila anda tidak dapat menggunakan kunci laluan anda. Ketahui lebih lanjut tentang tempat kunci laluan disimpan.

Selesaikan masalah kunci laluan yang tidak anda kenali

Anda mungkin melihat kunci laluan dalam bahagian Kunci laluan yang anda tidak ingat pernah menciptanya, atau mendapat e-mel yang memberitahu anda bahawa kunci laluan telah dicipta. Terdapat dua sebab perkara ini berlaku dan sebab ini memerlukan tindakan yang berbeza.

Langkah:

  1. Jika kunci laluan telah dicipta untuk anda, kunci laluan tersebut berada dalam akaun pengurus kata laluan anda sendiri. Kunci laluan boleh dicipta untuk anda apabila anda log masuk dan pengurus kata laluan yang layak, seperti iCloud Keychain atau Google Password Manager menaik taraf kata laluan anda kepada kunci laluan. Untuk menghentikan hal ini, alih keluar kunci laluan daripada bahagian Kunci laluan pada tab Keselamatan. Menetapkan semula kata laluan anda mengalih keluar kunci laluan anda, tetapi tindakan itu tidak menghalang kunci laluan baharu daripada dicipta pada kali seterusnya anda log masuk.
  2. Jika anda berpendapat bahawa kunci laluan ialah hasil aktiviti yang tidak dibenarkan dan anda masih boleh log masuk, alih keluar kunci laluan tersebut. Semak akaun anda untuk aktiviti yang tidak anda jalankan, seperti log masuk yang tidak anda kenali, perubahan pada alamat e-mel anda atau pengesahan dua langkah, akaun kakitangan yang tidak anda tambahkan atau perubahan pada butiran bank atau pembayaran anda. Ketahui lebih lanjut tentang amalan terbaik keselamatan akaun.
  3. Jika anda tidak boleh log masuk, hubungi Sokongan Shopify.