Menyediakan dan mengurus senarai harga di saluran jualan Shopify Collective
Senarai harga mengandungi produk yang peruncit boleh import untuk dijual di kedai mereka. Produk yang anda tetapkan pada senarai harga boleh mempunyai margin peruncit yang menentukan harga kos terdiskaun yang dibayar oleh peruncit kepada anda.
Anda boleh mempunyai senarai harga peribadi yang anda kongsikan dengan sambungan peruncit anda dan anda boleh mencipta senarai harga awam yang semua produk dalam senarai harga tersebut tersedia untuk mana-mana peruncit yang layak untuk import serta-merta.
Sebelum anda mencipta senarai harga, pastikan produk yang ingin dikongsikan dengan peruncit disertakan dalam pasaran utama kedai anda.
Pada halaman ini
Butiran senarai harga
Apabila anda mencipta senarai harga, anda boleh menambah produk pada senarai harga, menetapkan margin peruncit untuk produk anda, mengurus sama ada status senarai harga ialah Aktif atau Draf, dan bagi kes senarai harga peribadi, menetapkan akses kepada peruncit tertentu.
Dengan menetapkan peruncit pada senarai harga peribadi anda dan mencipta senarai harga awam, anda akan berkongsi butiran produk dan inventori anda.
Import dan penyegerakan maklumat produk
Maklumat produk berikut diimport ke kedai peruncit anda:
- harga
- inventori
- tajuk produk
- imej produk
- perihalan produk
- varian
- vendor (pembekal produk)
- jenis produk
- kategori produk
- harga kos
- SKU (Unit Penyimpanan Stok)
- kod bar
- negara (rantau asal)
- Kod HS (Sistem Terharmoni)
- harga bandingan
Maklumat produk berikut tidak diimport ke kedai peruncit anda:
- koleksi
- tag
- kod diskaun
- medan meta tersuai
Selepas maklumat produk anda diimport ke kedai peruncit, Shopify Collective sentiasa menyegerakkan harga kos dan inventori. Peruncit boleh melaraskan kebanyakan butiran produk dalam kedai mereka, kecuali harga kos yang sentiasa disegerakkan dan dikemaskinikan dari kedai anda. Selepas pelanggan membeli produk anda melalui kedai peruncit, inventori dikemaskinikan secara automatik dalam kedai anda.
Peruncit boleh memilih untuk menaikkan atau menurunkan harga runcit bagi produk anda yang diimport. Harga kos anda tidak terjejas oleh apa-apa perubahan yang dibuat oleh peruncit pada harga runcit.
Anda boleh mengetahui harga produk anda yang sedang dijual oleh peruncit dengan melihat harga runcit produk, yang disertakan sebagai nota pesanan dalam halaman butiran pesanan dalam pentadbir Shopify anda. Jika anda tidak berpuas hati dengan harga runcit produk, anda boleh menghubungi peruncit untuk membincangkan penetapan harga, atau anda boleh memilih untuk memadamkan peruncit daripada sambungan anda. Peruncit juga mungkin akan menghubungi anda secara langsung untuk membincangkan penetapan harga.
Maklumat produk lain yang diimport tidak disegerakkan secara automatik. Semak butiran berikut tentang penyegerakan automatik bagi maklumat produk dan butiran yang boleh ditukar oleh peruncit.
| Butiran produk | Butiran penyegerakan |
|---|---|
| Harga kos | Harga kos sentiasa disegerakkan dan peruncit tidak boleh menukar perkara ini. |
| Harga runcit | Penyegerakan harga runcit dimatikan secara lalai, tetapi peruncit boleh mengaktifkan penyegerakan dalam tetapan mereka. |
| Harga bandingan | Penyegerakan harga asal dimatikan secara lalai, tetapi peruncit boleh mengaktifkan penyegerakan dalam tetapan mereka. |
| Inventori | Inventori produk sentiasa disegerakkan ke kedai peruncit. |
| Maklumat produk yang lain | Tidak disegerakkan secara automatik. |
Jika anda ingin menyegerakkan maklumat produk lain dengan kedai peruncit, seperti imej produk atau varian, maka anda boleh mengalih keluar produk daripada senarai harga dan menambahkan produk semula pada senarai harga tersebut.
Purata masa penyegerakan produk adalah kurang daripada 30 saat, tetapi boleh mengambil masa hingga 5 minit. Hal ini mungkin bermakna bahawa peristiwa pesanan dengan volum yang sangat tinggi boleh mengakibatkan jualan berlebihan.
Produk yang kehabisan stok
Jika produk anda yang dikongsikan dengan peruncit kehabisan stok dan pilihan Teruskan menjual apabila kehabisan stok diaktifkan, maka peruncit masih boleh terus menjual produk anda.
Anda mungkin ingin memaklumkan kepada peruncit anda tentang produk yang kehabisan stok secara manual dan berkongsi tarikh pengiriman yang dijangkakan. Peruncit tidak boleh menyahaktifkan pilihan Teruskan menjual apabila kehabisan stok dalam kedai mereka.
Margin peruncit
Apabila anda mencipta senarai harga, anda boleh memilih untuk menyertakan margin peruncit yang digunakan pada semua produk yang disertakan dalam senarai harga. Harga runcit produk ditolak dengan margin peruncit menentukan jumlah yang terhutang oleh peruncit kepada anda bagi setiap jualan yang mereka jana.
Pertimbangkan untuk menawarkan margin antara 20% hingga 50%, bagi memberi insentif kepada peruncit untuk mengimport produk anda dan bagi memberikan mereka margin yang mencukupi untuk mempromosikan produk untuk jualan.
Shopify Collective menghendaki pembekal menetapkan margin minimum sebanyak 5% untuk senarai harga awam.
Jumlah yang dibayar oleh peruncit kepada anda bagi setiap jualan yang mereka lakukan dipanggil harga kos. Dalam bahagian Produk bagi senarai harga yang anda ada dalam saluran jualan Collective: Supplier anda, jumlah ini dipaparkan dalam lajur Harga kos. Harga kos boleh berada dalam lingkungan tertentu untuk produk yang mempunyai varian dengan harga yang berbeza. Jika anda menukar margin peruncit pada senarai harga, maka harga kos akan dikemas kini secara automatik.
Sebagai contoh, jika harga runcit produk ialah USD 100 dan margin peruncit untuk senarai harga yang menyertakan produk itu ialah 30%, maka peruncit menyimpan USD 30 setiap jualan dan membayar anda USD 70. Apabila peruncit mengimport produk anda, harga kos sebanyak USD 70 dipaparkan dalam aplikasi Collective mereka. Jika anda menukar margin peruncit untuk senarai harga kepada 20%, maka peruncit menyimpan USD 20 bagi setiap jualan dan membayar anda USD 80.
Jika peruncit mahu menukar harga asal atau harga kos produk, mereka perlu menghubungi anda secara terus untuk membincangkan penetapan harga produk. Jika harga kos dikemas kini selepas anda menukar margin peruncit bagi senarai harga, harga kos tersebut akan dikira semula dan dikemas kini secara automatik dalam kedai peruncit. Jika anda mengemas kini harga asal produk dalam kedai anda, harga tersebut akan dikemas kini dalam kedai peruncit hanya untuk peruncit yang telah mengaktifkan penyegerakan harga asal dalam tetapan mereka.
Harga jualan
Anda boleh menggunakan harga asal untuk menawarkan produk pada harga jualan dalam kedai peruncit. Apabila anda menetapkan harga asal yang lebih rendah daripada harga produk, tetapan ini disegerakkan ke kedai bagi mana-mana peruncit yang telah mengaktifkan penyegerakan harga asal dalam tetapan mereka. Sama ada harga jualan dipaparkan dan tempat paparannya pada laman kedai peruncit bergantung pada tema mereka.
Pemberian diskaun
Peruncit boleh menggunakan kod diskaun, seperti tawaran alu-aluan 20%, pada produk yang diimport oleh mereka dengan Collective. Hal ini tidak mempengaruhi amaun harga kos yang anda terima untuk item tersebut, sebaliknya hal ini memberikan impak terhadap pendapatan peruncit dan seterusnya amaun yang dibayar oleh pelanggan.
Jika anda lebih suka untuk tidak menyertakan produk anda dalam diskaun peruncit, maka anda disyorkan agar memaklumkan perkara ini kepada peruncit Collective anda.
Akses peruncit senarai harga
Selepas anda menjemput dan berhubung dengan peruncit di Shopify Collective, anda boleh memberikan akses kepada mereka untuk senarai harga peribadi yang khusus. Senarai harga peribadi tunggal boleh diberikan kepada berbilang peruncit. Anda juga boleh mengalih keluar akses ke senarai harga peribadi untuk peruncit yang khusus.
Senarai harga awam
Apabila anda mencipta senarai harga awam, produk dalam senarai tersebut akan dipaparkan dengan label Import segera kepada peruncit yang layak apabila mereka mencari atau menyemak imbas dalam aplikasi Collective mereka. Peruncit yang layak boleh mengimport produk ini dengan serta-merta untuk dijual di kedai mereka tanpa perlu meminta hubungan peribadi dengan anda.
Semak pertimbangan berikut untuk mencipta senarai harga awam:
- Apabila peruncit mengimport produk import segera daripada senarai harga awam anda, mereka dihubungkan dengan anda secara automatik dan ditetapkan sebagai peruncit pada senarai harga yang berkaitan.
- Apabila peruncit mengimport produk import segera, anda ditambahkan secara automatik sebagai hubungan pada dasar lalai peruncit. Jika kaedah import produk peruncit ditetapkan sebagai Automatik dalam dasar produk mereka, maka semua produk pada senarai harga awam anda akan diimport secara automatik ke kedai peruncit.
- Jika produk import segera yang berada dalam senarai harga awam juga merupakan sebahagian daripada senarai harga Akses peribadi yang anda kongsi secara berasingan dengan peruncit yang sama, maka margin tertinggi daripada kedua-dua senarai harga digunakan untuk jualan peruncit:
- Jika produk mempunyai margin 10% dalam senarai harga awam anda dan margin 20% dalam senarai harga yang dikongsi secara peribadi anda, maka margin 20% digunakan untuk peruncit.
- Jika produk mempunyai margin 30% dalam senarai harga awam anda dan margin 10% dalam senarai harga yang dikongsi secara peribadi anda, maka margin 30% digunakan untuk peruncit.
- Jika peruncit berhubung dengan anda dengan mengimport produk secara segera daripada senarai harga awam dan kemudian anda memutuskan untuk memadamkan hubungan tersebut, maka peruncit tidak boleh berhubung semula secara automatik melalui import segera produk daripada senarai harga awam. Walau bagaimanapun, peruncit masih boleh menjemput anda untuk berhubung semula.
Status senarai harga
Senarai harga anda boleh mempunyai salah satu status yang berikut:
- Status Aktif bermakna produk yang disertakan dalam senarai harga tersedia untuk diimport daripada senarai harga tersebut.
- Status Draf bermakna senarai harga tidak tersedia dan produk dalam senarai harga tidak boleh diimport atau dijual oleh peruncit.
Jika anda memilih status Aktif, maka peruncit yang anda umpukkan akses ke senarai harga akan menerima e-mel yang memberitahu mereka tentang produk yang tersedia. Peruncit boleh mengimport dan mula menjual produk anda di kedai mereka dengan serta-merta.
Cipta senarai harga
Anda boleh mencipta senarai harga Akses awam supaya semua peruncit yang layak boleh mengimport produk anda dengan serta-merta dan anda boleh mencipta senarai harga Akses peribadi untuk dikongsi dengan hubungan peruncit anda supaya mereka boleh mengimport produk ke dalam kedai mereka. Anda tidak boleh menukar tetapan akses selepas anda menyimpan senarai harga.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Saluran jualan > Collective: Supplier.
Klik Senarai harga.
Klik Cipta senarai harga.
Tambahkan Tajuk untuk senarai harga anda.
Dalam menu juntai bawah Status, pilih Aktif atau Draf.
Dalam bahagian Keizinan, lakukan mana-mana yang berikut:
- Untuk mencipta senarai harga awam, pilih Akses awam.
- Untuk mencipta senarai harga peribadi, pilih Akses peribadi dan kemudian dalam medan Cari peruncit, cari dan pilih peruncit yang anda ingin umpukkan pada senarai harga peribadi anda.
Dalam bahagian Pengiriman, tetapkan kadar pengiriman anda untuk senarai harga tersebut.
Dalam bahagian Penetapan harga, masukkan peratusan Margin peruncit yang ditolak daripada harga runcit produk anda untuk menentukan harga kos kepada peruncit.
Klik Simpan.
Dalam dialog Tambah produk, pilih produk yang anda ingin tambahkan pada senarai harga dan kemudian klik Simpan.
Tambah atau alih keluar produk daripada senarai harga
Anda boleh menambah atau mengalih keluar produk yang diterbitkan ke saluran jualan Collective: Supplier daripada senarai harga sedia ada anda. Jika anda mengalih keluar produk daripada senarai harga aktif, maka inventori ditetapkan kepada 0 untuk semua peruncit yang telah mengimport produk tersebut. Hal ini menjadikan produk tidak tersedia untuk dijual di laman kedai peruncit. Selepas anda mengalih keluar produk daripada senarai harga aktif, peruncit dimaklumkan agar memadamkan produk atau menetapkan produk kepada status draf untuk mengalihnya keluar daripada laman kedai mereka.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Saluran jualan > Collective: Supplier.
Klik Senarai harga.
Klik senarai harga yang anda ingin tambah atau alih keluar produk daripadanya.
Dalam bahagian Produk, lakukan mana-mana yang berikut:
- Untuk menambahkan produk pada senarai harga, klik Tambah produk, pilih produk yang anda ingin tambahkan dan kemudian klik Simpan.
- Untuk mengalih keluar produk daripada senarai harga, pilih produk yang anda ingin alih keluar dan kemudian klik Alih keluar produk.
Klik Simpan.
Mengurus akses ke senarai harga
Anda boleh menambah peruncit baharu atau mengalih keluar peruncit sedia ada daripada senarai harga peribadi anda. Anda juga boleh mengalih keluar akses peruncit ke senarai harga awam.
Jika anda mengalih keluar akses peruncit ke senarai harga, inventori ditetapkan kepada 0 untuk semua produk yang diimport oleh mereka. Produk ini segera menjadi tidak tersedia di kedai dalam talian peruncit. Peruncit dimaklumkan bahawa produk anda tidak lagi boleh dijual, tetapi mereka tidak diberikan sebab yang khusus. Pertimbangkan untuk menghubungi peruncit anda sebelum anda mengalih keluar akses mereka kepada produk tertentu.
Urus akses ke senarai harga peribadi
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Saluran jualan > Collective: Supplier.
Klik Senarai harga.
Klik senarai harga yang anda ingin urus akses peruncitnya.
Dalam bahagian Keizinan, klik medan Cari peruncit dan kemudian pilih atau nyahpilih peruncit yang anda ingin tambahkan atau alih keluar.
Klik Simpan.
Alih keluar akses ke senarai harga awam
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Saluran jualan > Collective: Supplier.
Klik Peruncit.
Klik peruncit yang anda ingin alih keluar akses senarai harga.
Dalam bahagian Senarai harga, pilih senarai harga yang anda ingin alih keluar aksesnya.
Klik Alih keluar akses.
Dalam dialog, klik Alih keluar akses.
Nyahaktifkan senarai harga
Jika anda ingin berhenti menggunakan senarai harga buat sementara waktu, anda boleh menyahaktifkannya dengan menetapkan statusnya kepada Draf. Senarai harga anda tidak akan dipadamkan, tetapi senarai harga tersebut akan dijadikan tidak tersedia kepada semua peruncit yang diumpukkan. Anda boleh kembali kepada senarai harga ini dan menetapkannya kepada status Aktif pada bila-bila masa.
Apabila anda menyahaktifkan senarai harga awam, mana-mana produk yang berada dalam senarai harga awam tidak lagi boleh dijual. Walau bagaimanapun, jika peruncit juga mempunyai mana-mana produk dalam senarai harga peribadi yang anda kongsi dengan mereka, peruncit mengekalkan akses kepada produk tersebut dan boleh terus menjual produk itu.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Saluran jualan > Collective: Supplier.
Klik Senarai harga.
Klik senarai harga yang anda ingin nyahaktifkan.
Dalam menu juntai bawah Status, pilih Draf.
Klik Simpan.
Padamkan senarai harga
Jika anda tidak lagi mahu menggunakan senarai harga, anda boleh memadamkannya secara kekal. Sebelum anda boleh memadamkan senarai harga Aktif, anda perlu menyahaktifkan senarai harga tersebut terlebih dahulu.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Saluran jualan > Collective: Supplier.
Klik Senarai harga.
Klik senarai harga yang anda mahu padamkan.
Klik Padam senarai harga dan kemudian klik Padam.