Terminologi domain
Domain atau nama domain ialah alamat web atau URL yang digunakan oleh pengguna untuk melawati laman web anda di Internet. Nama domain dipaparkan dalam bar alamat pelayar web anda, seperti Chrome, Firefox, Microsoft Edge atau Safari.
Bagi membantu anda untuk memahami sebahagian daripada terminologi mengenai domain, senarai yang berikut mengandungi takrifan istilah lazim.
Pada halaman ini
- Rekod A
- Rekod AAAA
- Rekod CAA
- Rekod CNAME
- Rekod DKIM
- Rekod DMARC
- DNS
- Nama domain
- Penyedia domain
- Pengehosan e-mel
- Pemajuan e-mel
- HTTP Strict Transport Security (HSTS)
- ICANN
- Domain antarabangsa
- Penyasaran antarabangsa
- Alamat IP
- Rekod MX
- Domain utama
- Domain akar
- Rekod SPF
- Sijil SSL
- Subdirektori
- Subdomain
- Time to Live
- Domain peringkat tinggi dan peringkat kedua
- Sijil TLS
- Rekod TXT
- Privasi WHOIS
Rekod A
Rekod A ialah tetapan DNS yang menyemak sama ada nama domain mempunyai alamat IPv4 tertentu yang dikaitkan dengannya. Dalam kes ini, anda mahu rekod A anda menghala ke alamat IPv4 Shopify.
Jika anda menggunakan domain pihak ketiga, maka alamat IPv4 lalai Shopify ialah 23.227.38.65. Untuk menyambungkan domain sedia ada, anda perlu menetapkan rekod A anda kepada alamat IPv4 Shopify.
Istilah lain: Rekod alamat, rekod hos
Rekod AAAA
Rekod AAAA (kuad-A) ialah tetapan DNS yang menyemak sama ada nama domain mempunyai alamat IPv6 tertentu yang dikaitkan dengannya. Dalam kes ini, anda mahu rekod AAAA anda menghala ke alamat IPv6 Shopify.
Jika anda menggunakan domain pihak ketiga, alamat IPv6 padat Shopify ialah 2620:0127:f00f:5::. Untuk menyambungkan domain sedia ada, anda perlu menetapkan rekod AAAA anda kepada alamat IPv6 Shopify.
Sesetengah penyedia domain pihak ketiga tidak menerima alamat IPv6 padat. Jika alamat IPv6 padat Shopify 2620:0127:f00f:5:: ditolak oleh penyedia domain pihak ketiga anda, maka anda perlu menggunakan versi dikembangkan. Alamat IPv6 dikembangkan Shopify ialah 2620:0127:f00f:0005:0000:0000:0000:0000.
Rekod CAA
Rekod CAA (Pengesahan Pihak Berkuasa Pensijilan) digunakan untuk menentukan pihak berkuasa pensijilan yang dibenarkan untuk mengeluarkan sijil untuk sesebuah domain. Pihak berkuasa pensijilan (CA) ialah entiti dipercayai yang mengeluarkan dokumen elektronik yang mengesahkan identiti entiti digital di Internet.
Rekod CNAME
Rekod nama kanonikal (CNAME) ialah tetapan DNS yang menghalakan subdomain anda ke nama domain lain.
Istilah lain: Rekod sumber CNAME, alias
Rekod DKIM
Shopify menggunakan teknik pengesahan e-mel DKIM (Domain Keys Identified Mail) untuk menandatangani e-mel dengan tandatangan digital. Hal ini membolehkan penerima menyemak bahawa mesej e-mel dihantar dan disahkan oleh pemilik domain tersebut. Jika anda menggunakan domain pihak ketiga, maka tindakan menambahkan rekod CNAME untuk mengesahkan domain anda mengkonfigurasi DKIM secara automatik dan dapat membantu mencegah e-mel pemberitahuan daripada dibenderakan sebagai spam. Untuk mencegah sepenuhnya e-mel pengirim anda daripada ditulis semula kepada store+123@shopifyemail.com, anda juga memerlukan rekod DMARC yang sah.
Jika anda membeli domain anda melalui Shopify, maka DKIM, SPF dan DMARC semuanya dikonfigurasi secara automatik. DKIM dan SPF dipaparkan sebagai rekod CNAME dalam tetapan DNS anda dan DMARC dipaparkan sebagai rekod TXT. Jangan padamkan rekod ini, kerana tindakan mengalih keluarnya akan menyebabkan e-mel pengirim anda ditulis semula kepada store+123@shopifyemail.com.
Rekod DMARC
Pengesahan, Pelaporan dan Keakuran Mesej Berasaskan Domain (DMARC) ialah rekod pengesahan e-mel yang membantu penyedia e-mel menentukan sama ada mesej yang mereka terima dibenarkan untuk datang daripada domain tersebut. E-mel tersebut perlu melepasi semakan pengesahan untuk membuktikan bahawa e-mel itu melepasi keperluan DMARC anda. Jika e-mel gagal dalam keperluan DMARC, penyedia e-mel akan mengikuti arahan DMARC:
p=none: Tidak mengambil sebarang tindakan, seolah-olah tiada rekod DMARC.p=quarantine: Masukkan e-mel ke dalam folder spam penerima.p=reject: Tolak e-mel sepenuhnya dan sekat e-mel tersebut.
Rekod DMARC diperlukan bersama-sama rekod CNAME untuk pengesahan DKIM dan SPF untuk mencegah e-mel pengirim anda daripada ditulis semula kepada store+123@shopifyemail.com. Anda perlu menambahkan kedua-dua rekod pada tetapan DNS anda supaya alamat e-mel berjenama anda dipaparkan dengan betul. Ketahui cara menambahkan rekod DMARC.
Domain anda mesti mempunyai tepat satu rekod DMARC. Berbilang rekod DMARC akan menyebabkan semakan DMARC terhadap domain anda gagal.
DNS
Sistem Nama Domain (DNS) ialah pangkalan data bagi nama domain. Setiap domain mempunyai entri DNSnya yang tersendiri. Sistem Nama Domain menyusun nama domain dan menterjemahkannya daripada perkataan kepada nombor agar anda boleh melawat laman web tanpa perlu menghafal alamat IPnya. Contohnya, alamat IP bagi shopify.com ialah 23.227.38.65. Lazimnya, proses ini berjalan dengan pantas di latar belakang. Apabila anda menyambungkan domain pihak ketiga ke kedai Shopify anda, anda mungkin perlu menukar tetapan DNS anda.
Anda tidak boleh menukar tetapan DNS untuk nama domain myshopify.com anda. Jika anda mahu menambah rekod pada domain anda untuk bersambung ke perkhidmatan pihak ketiga atau menyediakan subdomain, anda perlu menambah domain tersuai.
Istilah lain: Rekod DNS, tetapan DNS, rekod sumber, zon fail DNS
Nama domain
Nama domain ialah alamat yang digunakan orang ramai untuk melawati laman web anda di internet. Nama domain dipaparkan pada bar alamat pelayar web anda dan dipautkan kepada alamat IP tertentu.
Istilah lain: domain
Penyedia domain
Penyedia domain ialah syarikat yang mendaftarkan nama domain untuk anda. Secara lazimnya, anda membeli domain secara langganan dan anda membayar yuran biasa kepada penyedia domain anda untuk terus menggunakan nama domain anda. Apabila anda membeli domain melalui Shopify, Shopify ialah penyedia domain anda. Shopify juga mempunyai rakan kongsi pengurusan domain yang bekerjasama dengannya untuk mengurus pendaftaran domain anda, seperti OpenSRS.
Istilah lain: penjual semula domain, pendaftar domain, pendaftaran domain, hos domain
Pengehosan e-mel
Pengehosan e-mel ialah perkhidmatan yang membolehkan anda menyediakan alamat e-mel tersuai dan menggunakannya untuk menghantar dan menerima mesej e-mel. Pengehosan e-mel tidak disediakan pada Shopify tetapi anda boleh menyambungkan perkhidmatan pengehosan e-mel pihak ketiga pada domain tersuai anda.
Pemajuan e-mel
Pemajuan e-mel ialah perkhidmatan yang membolehkan anda menghalakan mesej e-mel yang dihantar ke satu alamat e-mel kepada alamat e-mel lain. Jika anda mempunyai domain yang diurus oleh Shopify, anda boleh menyediakan alamat e-mel domain tersuai tanpa had yang dimajukan ke akaun e-mel yang dihoskan oleh pihak ketiga. Contohnya, jika anda memiliki nama domain example.com, anda boleh mencipta alamat e-mel domain tersuai info@example.com untuk dihubungi oleh pelanggan anda dan menetapkan alamat e-mel pemajuan ke akaun peribadi anda. Apabila pelanggan menghantar mesej e-mel ke info@example.com, mesej e-mel tersebut akan dimajukan ke akaun peribadi anda yang sedia ada.
HTTP Strict Transport Security (HSTS)
HTTP Strict Transport Security (HSTS) ialah mekanisme keselamatan web yang memastikan pelayar hanya bersambung ke kedai dalam talian anda menerusi sambungan HTTPS yang selamat. Penggunaan sambungan selamat mencegah jenis serangan rangkaian tertentu dan membantu dalam memastikan keselamatan maklumat anda dan pelanggan anda. HSTS sentiasa aktif pada domain anda selagi domain anda disambungkan kepada Kedai Shopify anda.
Dasar HSTS boleh ditetapkan pada domain untuk tempoh masa yang tetap. Tempoh lalai Shopify ialah 90 hari. Jika anda mengalih keluar domain atau meninggalkan Shopify sepenuhnya, dasar ini kekal berkuat kuasa pada domain anda untuk 90 hari tambahan.
ICANN
Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN) ialah organisasi yang mentadbir dan mengurus Sistem Nama Domain serta protokol Internet yang lain.
IANA
Internet Assigned Numbers Authority (IANA) ialah badan gabungan operasi ICANN.
Domain antarabangsa
Domain antarabangsa ialah URL yang khusus untuk sesebuah negara atau rantau. Anda boleh menggunakan domain antarabangsa untuk memaparkan kedai dalam talian anda dalam bahasa dan mata wang yang khusus untuk negara atau rantau tertentu. Untuk menggunakan domain antarabangsa, anda mesti menggunakan pelan Shopify atau yang lebih tinggi.
Istilah lain: domain serantau, subdomain serantau
Penyasaran antarabangsa
Penyasaran antarabangsa membolehkan anda memaparkan versi kedai anda yang betul kepada pelanggan tempatan di negara atau rantau tertentu. Contohnya, jika anda hanya menjual kepada pelanggan di Amerika Syarikat, anda boleh menetapkan negara sasaran kedai anda kepada Amerika Syarikat. Anda boleh menetapkan negara atau rantau sasaran untuk setiap domain atau subdomain kedai anda dalam Google Search Console.
Istilah lain: penyasaran geo
Alamat IP
Alamat IP ialah rentetan nombor unik yang menentukan lokasi komputer atau peranti pada Internet dan membezakannya daripada komputer atau peranti lain. Alamat IP diperlukan oleh sebuah komputer untuk berkomunikasi dengan peranti lain menerusi Internet.
Jika anda menggunakan domain pihak ketiga, alamat IP Shopify ialah 23.227.38.65. Untuk menyambungkan domain sedia ada, anda perlu menetapkan rekod A anda kepada alamat IP Shopify.
Jika anda membeli domain melalui Shopify, atau memindahkan domain anda ke Shopify, domain anda boleh mempunyai mana-mana alamat IP berikut:
23.227.38.3223.227.38.3623.227.38.65hingga23.227.38.74
Domain Shopify anda boleh bertukar-tukar antara alamat IP ini pada bila-bila masa. Anda boleh mencari alamat IP Shopify semasa anda dengan melihat nilai Menghala ke dalam bahagian REKOD A pada halaman Tetapan DNS.
Istilah lain: alamat Protokol Internet
Rekod MX
Rekod MX ialah tetapan DNS yang menghalakan nama domain ke pelayan mel dan digunakan untuk memproses e-mel melalui domain tersuai anda. Anda boleh menyediakan lebih daripada satu rekod MX, dan menambahkan alamat e-mel sandaran jika anda mahu memastikan mesej e-mel sampai kepada anda jika pelayan e-mel utama anda tergendala.
Istilah lain: Rekod Pertukaran Mel, rekod penukar Mel, rekod pelayan mel
Domain utama
Dalam Shopify, domain utama anda ialah nama domain yang dipaparkan dalam bar alamat apabila pelanggan menyemak imbas kedai dalam talian anda. Anda boleh menggunakan domain akar atau subdomain anda sebagai domain utama anda, tetapi anda hanya boleh mempunyai satu domain utama untuk kedai dalam talian anda.
Apabila anda mendaftar untuk Shopify, anda diberikan domain myshopify.com yang diprajana. Walau bagaimanapun, anda boleh menukar domain utama yang digunakan pelanggan untuk melawati kedai dalam talian anda. Anda boleh memilih nama domain .myshopify.com yang baharu jika anda mahukan domain berjenama percuma yang boleh anda gunakan untuk laman kedai anda. Anda hanya boleh menukar domain myshopify.com anda sebanyak dua kali. Jika anda memasukkan nama kedai semasa anda mendaftar, maka ini dianggap kali pertama anda menukar domain myshopify.com dan anda boleh menukarnya satu kali lagi. Anda juga boleh membeli domain tersuai melalui Shopify atau daripada mana-mana pendaftar domain pihak ketiga dan menyambungkannya kepada Shopify. Selepas anda menambahkan domain tersuai pada Shopify, anda boleh menetapkan domain tersuai anda sebagai domain utama.
Domain akar
Domain akar ialah nama domain yang anda beli daripada penyedia domain anda. Domain akar mempunyai sambungan domain peringkat tinggi (TLD) seperti .com, .org atau .net, tetapi domain ini tidak mengandungi awalan seperti www. Contoh domain akar ialah shopify.com.
Istilah lain: domain asas, domain peringkat tinggi dan domain peringkat kedua, domain apeks
Rekod SPF
Shopify menggunakan SPF (Rangka Kerja Dasar Penghantar) sebagai sebahagian daripada pengesahan e-mel. Apabila anda menambahkan rekod CNAME untuk mengesahkan domain anda, SPF dikonfigurasi secara automatik. Anda tidak perlu menambahkan rekod TXT SPF yang berasingan untuk tujuan ini. Untuk mencegah sepenuhnya e-mel pengirim anda daripada ditulis semula kepada store+123@shopifyemail.com, anda juga perlu menambahkan rekod DMARC yang sah pada tetapan DNS anda sebagai tambahan kepada rekod CNAME.
Jika anda membeli domain anda melalui Shopify, maka SPF dikonfigurasi secara automatik sebagai rekod CNAME dalam tetapan DNS anda. Jangan padamkan rekod ini. Jika anda menggunakan pemajuan e-mel pada domain anda yang diurus oleh Shopify, maka anda juga perlu menambahkan rekod SPF yang berasingan untuk memastikan e-mel yang dimajukan dihantar dengan betul.
Sijil SSL
Lihat sijil TLS.
Subdirektori
Subdirektori ialah bahagian pada laman web utama anda. Subdirektori ditakrifkan oleh tanda / di penghujung nama domain. Contohnya, dalam URL shopify.com/pricing, /pricing ialah subdirektori. Subdirektori adalah berbeza daripada subdomain kerana subdirektori digunakan terutamanya untuk mengatur laman web anda, manakala subdomain boleh membawa anda ke laman web yang berbeza sepenuhnya. Contoh subdirektori di kedai dalam talian anda ialah /collections, /products dan /pages.
Anda tidak boleh menyunting nama subdirektori. Tidak kira apa domain yang anda gunakan, nama subdirektori akan kekal sama.
Subdomain
Subdomain ialah subset domain akar yang anda tambahkan sebagai awalan. Contohnya, dalam URL help.shopify.com, shopify.com ialah domain akar dan help. ialah subdomain. Anda boleh menggunakan subdomain untuk mengatur laman web anda dan memudahkan pelawat untuk mencari maklumat yang mereka perlukan. Jika anda melanggan pelan Shopify atau yang lebih tinggi dan anda ingin menjual kepada pelanggan di berbilang negara atau rantau, anda boleh menggunakan domain antarabangsa untuk menyediakan subdomain serantau bagi setiap negara atau rantau yang mempunyai sasaran pasaran anda.
Time to Live
Nilai Time to Live (TTL) domain anda menentukan kekerapan rekod DNS anda dikemaskinikan. Semua rekod DNS domain mempunyai nilai TTL. Contohnya, jika rekod mempunyai TTL bernilai 86400 saat, ia mengambil masa hingga 24 jam untuk berkuat kuasa. Menukar TTL rekod menjejaskan tempoh masa yang diambil oleh sebarang perubahan seterusnya untuk berlaku.
Domain peringkat tinggi dan peringkat kedua
Domain peringkat tertinggi (TLD) dan domain peringkat kedua ialah komponen domain akar yang memberikan hierarki kepada struktur domain. Sebagai contoh, dalam domain akar shopify.com, domain peringkat tertinggi ialah .com dan domain peringkat kedua ialah shopify.
Sijil TLS
Sijil TLS (Transport Layer Security) ialah protokol keselamatan yang mencipta sambungan yang selamat antara pelayan dengan pelayar, yang memastikan semua sambungan ke Shopify, termasuk sambungan anda sendiri dan sambungan pelanggan anda, kekal selamat. Dalam pentadbir Shopify anda, anda boleh mengaktifkan sambungan selamat ke kedai Shopify anda untuk menyulitkan kandungan kedai dalam talian anda dan menerbitkannya dengan selamat menggunakan HTTPS dan bukannya HTTP. Apabila sijil TLS anda diaktifkan, ikon mangga dipaparkan di sebelah URL kedai dalam talian anda dalam bar alamat.
Terma lain: Transport Layer Security, Secure Sockets Layer, SSL
Rekod TXT
Rekod TXT ialah tetapan DNS. Rekod TXT mengandungi maklumat teks yang boleh digunakan oleh perkhidmatan di luar domain anda. Contohnya, anda mungkin menambah rekod TXT yang telah diberikan oleh perkhidmatan pihak ketiga kepada anda untuk mengesahkan dengan mereka bahawa anda memiliki domain tersebut.
Terma lain: Rekod teks
Privasi WHOIS
WHOIS ialah perkhidmatan yang boleh anda gunakan untuk mencari maklumat tentang pemilik nama domain.
Privasi WHOIS ialah perkhidmatan yang menyembunyikan maklumat domain anda daripada carian WHOIS dan menggantikan maklumat perhubungan anda dengan butiran perhubungan contactprivacy.com. Privasi WHOIS membolehkan maklumat perhubungan peribadi anda kekal tersembunyi daripada umum. Anda boleh membuat pembelian privasi WHOIS daripada penyedia domain anda dengan yuran tambahan. Privasi WHOIS disertakan apabila anda membeli domain anda melalui Shopify.