Rantaian bekalan dan proses pemenuhan

Laluan yang diambil oleh produk dari masa ia dibuat ke tangan pelanggan dipanggil rantaian bekalannya. Setiap perniagaan atau orang yang terlibat dengan produk dalam laluannya ialah sebahagian daripada rantaian bekalannya.

Rantaian bekalan anda membentuk sebahagian besar proses pemenuhan untuk pesanan anda. Anda harus memahami bahagian utama dalam rantaian bekalan untuk produk anda supaya anda tahu bila masanya yang sesuai untuk menambah baik bahagian tersebut, seperti mengetahui bila masanya untuk menukar pembekal, menawarkan pilihan pengiriman yang berbeza atau mengeluarkan produk daripada barisan produk anda.

Peranan dalam rantaian bekalan

Peranan utama dalam rantaian bekalan yang harus anda ketahui ialah pengilang, pemborong, peruncit dan pengangkut pengiriman.

Pengilang

Pengilang membina dan mencipta produk, tetapi secara umumnya tidak menjual secara terus kepada orang awam. Sebaliknya, mereka menjual dalam kuantiti pukal kepada pemborong.

Pengilang umumnya mempunyai kos per item yang paling murah, tetapi anda biasanya perlu memesan kuantiti produk yang besar, yang tidak mampu dibeli oleh kebanyakan perniagaan kecil. Pengilang juga biasanya tidak mengirim item kepada pelanggan anda. Perniagaan yang membeli daripada pengilang perlu menstokkan dan mengirim produk yang mereka beli.

Tindakan membeli secara terus daripada pengilang biasanya sesuatu yang dilakukan oleh perniagaan kecil selepas perniagaan mereka banyak berkembang. Selepas perniagaan menjadi cukup besar, perniagaan tersebut mampu untuk memesan kuantiti produk yang besar dan mempunyai gudang untuk menyimpannya. Walau bagaimanapun, pada permulaannya, kebanyakan perniagaan kecil membeli daripada pemborong.

Pemborong

Pemborong secara umumnya membeli produk daripada pelbagai pengilang dan menjual produk kepada peruncit pada harga yang lebih tinggi sedikit. Mereka cuba menstokkan produk yang berkaitan dengan satu industri dan secara umumnya hanya menjual kepada peruncit, bukan kepada orang awam.

Pemborong mungkin mempunyai jumlah pesanan minimum tetapi jumlah ini biasanya jauh lebih rendah berbanding minimum daripada pengilang. Contohnya, pengilang mungkin mensyaratkan anda memesan 500 atau 1,000 cawan kopi, manakala pemborong mungkin membenarkan jualan individu atau hanya memerlukan 10 cawan bagi setiap pesanan. Kebanyakan perniagaan kecil membeli produk daripada pemborong kerana mereka mempunyai keperluan minimum yang rendah atau tiada langsung dan boleh mengirim produk kepada pelanggan anda.

Peruncit

Jika anda menjual produk kepada orang ramai, anda ialah peruncit. Kebanyakan perniagaan dropshipping ialah peruncit yang membeli produk daripada pemborong atau pengilang.

Apabila anda membeli produk anda, pastikan anda tidak membelinya daripada peruncit lain kerana anda akan membayar harga yang jauh lebih tinggi berbanding jika anda membeli secara langsung daripada pemborong atau pengilang.

Pengangkut pengiriman

Bahagian penting rantaian bekalan ialah cara produk diangkut antara pengilang, pemborong dan peruncit. Oleh sebab pengilang mempunyai jumlah pesanan minimum yang besar, kebanyakan pengangkut pengiriman yang digunakan oleh mereka ialah pengangkut pengiriman kargo seperti kapal kargo. Pemborong biasanya menggunakan perkhidmatan kurier seperti trak penghantaran.

Mengetahui cara produk anda bergerak pergi dan balik ke lokasi ini membantu anda memberikan tarikh penghantaran yang realistik kepada pelanggan anda. Contohnya, pemborong anda mungkin memproses pesanan dengan sangat cepat tetapi kemudian memilih kaedah pengiriman termurah dan paling lambat yang tersedia untuk mengirim produk kepada pelanggan anda.

Contoh rantaian bekalan dan proses pemenuhan

Jika anda mengetahui keseluruhan proses cara produk anda sampai kepada pelanggan, anda boleh menjadikan perniagaan anda lebih baik apabila ia semakin berkembang.

Contoh berikut menunjukkan semua langkah yang mungkin dilalui oleh sesuatu produk daripada pengilang kepada pelanggan.

Langkah rantaian bekalan dan proses pemenuhan
LangkahButiran
1. Pengilang mencipta produk.
  • Berdasarkan keperluan pemborong, pengilang cuba menghasilkan bilangan produk yang betul.
2. Pemborong memesan produk.
  • Pemborong cuba menstokkan jumlah produk yang betul yang diperlukan untuk memenuhi pesanan yang masuk daripada peruncit mereka, seperti kedai anda.
  • Pemborong membayar pengilang untuk produk tersebut.
3. Pengilang mengirim produk kepada pemborong.
  • Pengilang menyerahkan produk kepada pengangkut kargo untuk dibawa kepada pemborong.
  • Pengilang membayar pengangkut kargo.
4. Pengangkut kargo membawa produk kepada pemborong.
  • Bergantung pada kaedah pengiriman yang dipilih dan lokasi perniagaan, produk boleh diangkut dengan kapal, kapal terbang atau trak.
  • Produk mungkin mengambil masa antara beberapa hari hingga beberapa minggu untuk tiba.
5. Pemborong meletakkan produk di dalam gudang.
  • Pemborong mengemaskinikan angka inventori mereka supaya peruncit mengetahui stok yang tersedia.
6. Pelanggan membuat pesanan di kedai anda.
  • Anda menerima e-mel daripada Shopify yang mengandungi butiran pesanan.
  • Wang untuk pesanan tersebut akan ditambahkan pada pembayaran anda yang seterusnya.
  • Pelanggan menerima e-mel pengesahan pesanan.
7. Anda membuat pesanan dengan pemborong anda.
  • Jika pemborong anda menerima pemberitahuan pesanan automatik daripada kedai anda, anda tidak perlu memberitahu pemborong secara manual tentang pesanan tersebut.
  • Jika anda menetapkan pemborong anda sebagai perkhidmatan pemenuhan tersuai, anda perlu menanda pesanan sebagai dipenuhi secara manual untuk menghantar e-mel kepada pemborong anda. Menanda pesanan sebagai dipenuhi juga akan menghantar e-mel pengesahan pengiriman kepada pelanggan anda.
  • Jika pemborong anda ingin menerima pesanan menerusi cara lain, pastikan anda faham cara untuk menghantar pesanan kepada pemborong anda.
  • Anda membayar pemborong anda untuk produk tersebut.
8. Pemborong anda memenuhi pesanan tersebut.
  • Pemborong anda mengirim pesanan kepada pelanggan anda menggunakan perkhidmatan kurier.
  • Pemborong anda membayar perkhidmatan kurier tersebut.
  • Pelanggan anda menerima e-mel pengesahan pengiriman.
  • Jika pengangkut pengiriman menyediakan nombor pengiriman, anda boleh menghantarnya kepada pelanggan anda dalam e-mel kemaskinian pengiriman.
9. Perkhidmatan kurier membawa produk tersebut kepada pelanggan anda.
  • Bergantung pada kaedah pengiriman yang dipilih, ini boleh mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu.
10. Pelanggan anda menerima pesanan mereka.
  • Produk ini berjaya dihantar dari pengilang kepada pelanggan.