Menambahkan penapis dengan Shopify Search & Discovery
Anda boleh menggunakan aplikasi Search & Discovery Shopify untuk mencipta penapis bagi kedai dalam talian anda yang membolehkan pelanggan memperincikan produk yang dipaparkan pada halaman koleksi dan dalam hasil carian. Contohnya, kedai yang menjual jam tangan boleh mencipta penapis untuk nama jenama, harga, saiz dail dan ketahanan air.
Pada halaman ini
Keperluan
Penapis tersedia untuk mana-mana tema yang serasi dan laman kedai tersuai yang menggunakan sama ada API Liquid penapis atau Storefront API untuk kedai dalam talian mereka. Ketahui cara memaparkan penapis dalam tema yang serasi anda.
Jika tema anda tidak menyokong penapis, anda masih boleh mencipta penapis dalam aplikasi Shopify Search & Discovery tetapi penapis tersebut tidak akan dipaparkan kepada pelanggan.
Anda boleh menentukan sama ada tema kedai anda menyokong penapisan dengan pergi ke Kandungan > Menu dalam pentadbir Shopify anda. Jika tema anda tidak menyokong penapisan, mesej akan dipaparkan dalam bahagian Penapis carian dan koleksi.
Pertimbangan untuk menambah penapis
Semak pertimbangan yang berikut untuk penggunaan aplikasi Shopify Search & Discovery:
- Koleksi yang mengandungi lebih daripada 5,000 produk tidak memaparkan penapis. Pertimbangkan pembahagian koleksi yang besar kepada koleksi lebih kecil yang boleh memaparkan penapis. Contohnya, berbanding mencipta satu koleksi fesyen Wanita, anda boleh mencipta koleksi yang lebih kecil berdasarkan jenis pakaian, seperti Baju, Jeans dan But.
- Carian yang menghasilkan lebih daripada 100,000 hasil tidak memaparkan penapis.
- Penapis boleh memaparkan maksimum sebanyak 100 nilai penapis pada kedai anda. Jika penapis anda mempunyai lebih daripada 100 kemungkinan nilai, sebahagian nilai tidak akan dipaparkan kepada pelanggan. Anda boleh mengurangkan kemungkinan bilangan nilai penapis dengan mengumpulkan nilai yang serupa. Kumpulan penapis boleh mempunyai maksimum sebanyak 200 nilai penapis unik dan kedai anda boleh mempunyai maksimum sebanyak 1,000 kumpulan penapis merentas semua tetapan penapis yang dipilih.
- Dalam aplikasi Shopify Search & Discovery, penapis memaparkan maksimum sebanyak 1,000 nilai penapis. Penapis medan meta mungkin memaparkan kurang daripada 1,000 nilai kerana terdapat had bagi bilangan medan meta di kedai yang disemak untuk nilai yang unik. Nilai penapis yang tidak dipaparkan dalam aplikasi masih boleh dipaparkan pada kedai anda kepada pelanggan, dengan syarat penapis tersebut memaparkan kurang daripada 100 nilai penapis.
- Terjemahan tidak disokong untuk nilai penapis Vendor dan Tag. Penapis tag produk hanya dipaparkan kepada pelanggan yang membeli-belah dalam bahasa lalai kedai anda. Nilai penapis vendor sentiasa berdasarkan bahasa lalai kedai anda.
- Terjemahan nilai penapis adalah berdasarkan bahasa yang diterbitkan untuk kedai dalam talian anda dan tidak akan memaparkan terjemahan untuk pasaran yang disediakan menggunakan alat jualan antarabangsa.
- Penapis harga tidak dipaparkan untuk mata wang selain daripada mata wang lalai kedai anda.
Jenis penapis
Semua kedai boleh memaparkan penapis standard yang sama dan anda boleh mencipta penapis tersuai yang unik kepada katalog produk anda. Anda boleh mempunyai gabungan penapis standard dan tersuai, hingga maksimum sebanyak 25 penapis untuk kedai anda.
Setiap sumber penapis hanya boleh digunakan satu kali untuk penapis kedai. Contohnya, jika penapis Harga anda aktif pada kedai anda, maka Harga dikelabukan dan tidak boleh dipilih sebagai sumber untuk penapis baharu.
Penapis standard
Penapis standard untuk Ketersediaan, Kategori, Harga, Jenis produk, Tag dan Vendor tersedia untuk semua kedai.
Penapis tersuai
Penapis tersuai adalah berdasarkan pilihan produk, medan meta atau metaobjek yang digunakan di kedai anda.
Penapis pilihan produk
Penapis pilihan produk adalah berdasarkan pilihan produk yang telah anda tambahkan pada produk anda.
Contohnya, jika anda telah menambahkan pilihan produk "Saiz" pada produk pakaian anda dengan nilai seperti "Kecil", "Sederhana" dan "Besar", pilihan penapis pilihan produk "Saiz" yang sepadan akan tersedia dalam aplikasi Search & Discovery.
Penapis medan meta produk
Penapis medan meta produk adalah berdasarkan medan meta produk yang diumpukkan kepada semua produk di dalam kedai.
Penapis medan meta kategori
Penapis medan meta kategori adalah berdasarkan medan meta produk yang diumpukkan kepada kategori produk tertentu.
Penapis medan meta varian
Penapis medan meta varian adalah berdasarkan medan meta varian produk yang diumpukkan kepada semua varian produk di dalam kedai.
Atribut produk standard
Atribut produk standard yang diperoleh daripada Standard Product Taxonomy Shopify, dicipta secara automatik sebagai definisi medan meta produk apabila anda mengumpukkan kategori kepada produk anda. Medan meta yang dikaitkan merupakan rujukan metaobjek. Definisi objek meta yang sepadan ialah standard, oleh itu definisi tersebut tidak boleh diubah suai (medan tidak boleh ditambah, dialih keluar atau disunting). Salah satu medan ini merangkumi nilai rujukan taksonomi.
Dalam aplikasi Search & Discovery, sumber untuk atribut ini dipaparkan sebagai mana-mana pilihan yang berikut:
- Medan meta produk: Apabila diumpukkan kepada semua produk.
- Medan meta kategori: Apabila diumpukkan kepada kategori produk tertentu.
Penapis medan meta
Semua penapis medan meta, sama ada medan meta kategori, produk atau varian, adalah berdasarkan definisi medan meta. Ketahui cara untuk menambah definisi medan meta. Anda boleh mencipta penapis medan meta untuk jenis nilai yang berikut:
- Teks sebaris
- Teks sebaris (Senarai)
- Perpuluhan
- Integer
- Benar atau palsu
- Rujukan metaobjek
- Rujukan metaobjek (Senarai)
Selepas medan meta disediakan pada produk atau varian anda, anda boleh memilih definisi medan meta sebagai penapis apabila menyunting penapis anda.
Sunting penapis
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Penapis, kemudian klik Tambah penapis.
Klik medan Sumber, kemudian pilih sumber penapis yang anda mahu sediakan untuk pelanggan anda.
Pilihan: Namakan semula penapis.
Pilihan: Ubah gelagat penapis.
Pilihan: Ubah paparan visual.
Pilihan: Pilih nilai penapis untuk dikumpulkan bersama sebagai nilai tunggal.
Pilihan: Isih nilai penapis.
Klik Simpan.
Anda juga boleh menyusun semula penapis daripada bahagian Penapis. Klik dan seret penapis individu ke dalam susunan yang anda mahu paparkan penapis tersebut kepada pelanggan.
Namakan semula penapis
Anda boleh menukar nama yang menghadap pelanggan bagi mana-mana penapis sedia ada di kedai anda.
Menukar nama penapis tidak akan menukar maklumat tentang sumber penapis. Contohnya, menamakan semula penapis berdasarkan pilihan produk tidak akan menukar nama pilihan tersebut yang dipaparkan pada halaman produk individu.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Penapis, kemudian klik penapis yang anda mahu namakan semula.
Dalam medan Label penapis, masukkan label baharu anda.
Klik Simpan.
Nilai penapis
Hanya nilai penapis yang terpakai pada produk bagi koleksi atau hasil carian dipaparkan pada kedai anda.
Terdapat aturan pengisihan berbeza yang digunakan pada nilai penapis, dan anda boleh menggunakan penapis medan meta untuk kawalan yang lebih baik terhadap pengisihan dan nilai yang dipaparkan.
Kumpulkan nilai penapis
Anda boleh mengumpulkan berbilang nilai penapis bersama untuk memaparkannya sebagai nilai penapis tunggal kepada pelanggan. Contohnya, anda mempunyai produk dengan pilihan Warna yang merangkumi Onyx, Ebony dan Midnight. Anda boleh mengumpulkan nilai ini bersama di bawah penapis tunggal yang dinamakan Hitam. Kumpulan penapis boleh mempunyai maksimum 200 nilai penapis unik, dan kedai boleh mempunyai maksimum 1,000 kumpulan penapis.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Penapis, kemudian klik Tambah penapis atau klik nama penapis sedia ada.
Jika penapis adalah berdasarkan atribut produk standard, klik Urus nilai dan pilih satu pilihan. Ketahui lebih lanjut tentang pengumpulan penapis atribut produk standard.
Dalam bahagian Nilai, pilih nilai yang anda mahu kumpulkan sebagai nilai penapis tunggal. Anda boleh menggunakan bar carian untuk mencari lebih banyak nilai penapis.
Klik Cipta kumpulan.
Masukkan nama untuk kumpulan tersebut. Ini ialah nilai penapis tunggal yang dipaparkan kepada pelanggan.
Klik Selesai.
Klik Simpan.
Pengumpulan penapis atribut produk standard
Penapis yang berdasarkan atribut produk standard menawarkan ciri pengumpulan unik. Anda boleh mengakses ciri ini dengan mengklik Urus nilai, tempat anda mempunyai pilihan untuk memilih sama ada pengumpulan Automatik atau Manual:
- Automatik: Nilai dikumpulkan secara automatik di sekitar nilai asas taksonominya. Contohnya, jika penapis Warna anda menyertakan Merah muda, Burgundy dan Rubi, kesemuanya akan dikumpulkan di bawah nilai asas Merah. Anda boleh sesuaikan label kumpulan dan sampel, tetapi anda tidak boleh menambah atau mengalih keluar nilai.
- Manual: Pada mulanya, nilai tidak dikumpulkan dan boleh dikumpulkan berdasarkan langkah di atas.
Had
Penapis Kategori tidak menyokong pengumpulan.
Mengisih nilai penapis
Anda boleh mengisih nilai penapis mengikut cara yang paling sesuai dengan keperluan kedai anda. Kami menawarkan dua susunan isihan:
Isihan Automatik
Secara lalai, nilai penapis dipaparkan dalam susunan menaik, mengikut abjad dan nombor. Contohnya, penapis pilihan produk Saiz kasut akan memaparkan nilai daripada saiz terkecil hingga terbesar.
Nilai penapis yang bermula dengan nombor dan berakhir dengan perkataan, seperti 60 watt, akan dipaparkan bersebelahan nilai penapis yang berakhir dengan perkataan yang sama. Contohnya, penapis pilihan produk Umur dengan nilai penapis 2 tahun, 6 bulan, 3 tahun dan 2 bulan akan diisihkan mengikut susunan berikut:
- 2 bulan
- 6 bulan
- 2 tahun
- 3 tahun
Susunan isihan tersuai digunakan pada penapis yang dinamakan Saiz supaya terma saiz yang biasa dipaparkan mengikut susunan yang betul. Contohnya, XS (sangat kecil) mendahului S (kecil).
Nilai penapis yang baharu akan diisih secara automatik.
Isihan manual
Pengisihan manual membolehkan anda memilih susunan paparan untuk nilai penapis. Selepas susunan isihan manual disimpan, sebarang nilai penapis baharu akan dipaparkan pada penghujung senarai sehingga anda mengemaskinikan susunan isihan tersebut.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Penapis, kemudian pilih penapis sedia ada atau cipta penapis baharu.
Di bawah Isih, pilih Secara manual.
Seret nilai untuk menyusun semula. Sebagai alternatif, anda boleh memilih berbilang nilai dan mengklik Alih ke atas atau Alih ke bawah untuk mengubah kedudukannya secara serentak.
Pilihan: Klik Susun semula untuk saya bagi mengisih menggunakan Shopify Magic
Klik Simpan.
Isih menggunakan Shopify Magic
Anda boleh menggunakan Shopify Magic untuk mengisih nilai dalam susunan yang logik berdasarkan nama penapis dan nilainya. Penapis yang menggunakan penapis sampel mempertimbangkan kod perenambelas dan kedudukannya pada roda warna bagi menentukan susunan isihan.
Butang Susun semula untuk saya akan mengisih nilai anda menggunakan Shopify Magic. Jika susunan baharu tersebut tidak memenuhi jangkaan anda, anda boleh mengklik butang Buat asal susunan semula untuk memulihkan susunan isihan manual anda, atau menyusun semula nilai supaya lebih menepati keperluan kedai anda.
Sesuaikan nilai penapis yang kosong
Untuk membantu pelanggan mencari produk yang tersedia, anda boleh mengendalikan nilai penapis kosong sama ada dengan mengalihkan nilai tersebut ke penghujung senarai, atau menyembunyikannya sama sekali. Tindakan ini membolehkan pelanggan memfokus pada nilai dengan hasil padanan. Contohnya, anda menjual baju T dalam warna dan saiz yang berbeza. Semua warna kecuali Merah telah kehabisan stok. Jika anda mengalihkan nilai kosong ke bawah, warna Merah akan dipaparkan terlebih dahulu dalam penapis Warna. Jika anda menyembunyikan nilai kosong, maka hanya pilihan Merah akan dipaparkan dalam penapis Warna.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Tetapan.
Dalam bahagian Penapis > Nilai kosong, pilih salah satu pilihan yang berikut:
- Untuk menyembunyikan nilai penapis yang kosong, pilih Sembunyi. Penapis disembunyikan sepenuhnya jika semua nilai penapis adalah kosong.
- Untuk mengalihkan nilai penapis kosong ke penghujung senarai nilai, pilih Tunjukkan pada penghujung.
- Untuk mengekalkan nilai penapis kosong diisihkan mengikut logik isihan lalai, pilih Tunjukkan mengikut susunan lalai.
Klik Simpan.
Mengecualikan nilai penapis
Jika anda memerlukan lebih banyak kawalan ke atas nilai yang dipaparkan kepada pelanggan, anda boleh menggunakan penapis medan meta yang mengandungi nilai yang anda mahu paparkan sahaja pada kedai anda.
Sebagai contoh, anda mungkin mahu menggunakan tag produk untuk tujuan selain daripada penapis laman kedai, seperti syarat koleksi atau penapisan senarai produk pentadbir. Jenis medan meta teks baris tunggal atau jenis senarai boleh digunakan dan bukannya jenis penapis tag produk.
Penapis visual
Nilai penapis boleh menyertakan elemen visual seperti warna, corak atau imej yang lebih terperinci. Contohnya, penapis Warna fabrik boleh memaparkan sampel warna kecil untuk setiap nilai penapis.
Untuk mencipta visual dengan nilai penapis anda, gunakan mana-mana jenis penapis berikut yang berdasarkan rujukan metaobjek:
Menambah penapis atribut produk standard
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Penapis.
Klik Tambah penapis atau klik penapis sedia ada.
Klik medan Sumber, kemudian pilih penapis jenis Medan Meta Kategori atau Medan Meta Produk yang berdasarkan atribut produk standard.
Klik Urus nilai.
Pilih sama ada Automatik atau Manual bagi pengumpulan.
Pilih Sertakan sampel. Anda boleh membiarkan pilihan ini dinyahtandakan untuk teks sahaja.
Untuk menggunakan imej sebagai sampel, pilih Gunakan imej apabila tersedia.
Klik Simpan.
Menambah penapis medan meta tersuai
Anda boleh menambahkan penapis medan meta tersuai berdasarkan rujukan metaobjek. Sebelum anda menambah penapis medan meta tersuai, semak keperluan dan amalan terbaik yang berikut:
Keperluan untuk penapis visual berdasarkan medan meta tersuai
Untuk mencipta visual bagi penapis medan meta tersuai, visual tersebut perlu memenuhi keperluan yang berikut:
- Metaobjek yang memenuhi kriteria yang berikut:
- Sekurang-kurangnya satu medan warna atau satu medan fail dengan imej. Kedua-dua medan hanya boleh menyokong satu nilai, senarai nilai tidak disokong.
- Medan untuk menamakan nilai penapis. Medan ini hanya membenarkan satu nilai, senarai nilai tidak boleh digunakan sebagai nama penapis. Medan boleh terdiri daripada mana-mana jenis yang berikut:
- teks satu baris
- perpuluhan
- integer
- boolean (benar atau palsu)
- Definisi medan meta yang memenuhi kriteria yang berikut:
- Definisi ini dibuat sama ada untuk Produk atau Varian.
- Jenis medan meta ialah Metaobjek dan merujuk kepada definisi objek meta yang dicipta pada langkah sebelumnya.
- Tetapkan sama ada medan meta membenarkan satu entri atau senarai entri metaobjek.
- Bagi kedua-dua definisi objek meta dan medan meta, akses laman kedai perlu diaktifkan.
Amalan terbaik untuk penapis visual berdasarkan medan meta tersuai
Penapis varian produk akan memautkan kepada varian yang lebih berkaitan pada hasil carian dan halaman koleksi. Contohnya, memaparkan produk merah sahaja apabila sampel warna merah diklik. Gunakan medan meta varian untuk rujukan metaobjek bagi menggunakan penapisan tahap varian. Jika memautkan kepada varian khusus tidak penting untuk penapis anda, gunakan medan meta produk sebagai ganti.
Definisi objek meta untuk sampel warna perlu mempunyai kedua-dua medan warna dan imej. Anda tidak perlu memberikan nilai untuk kedua-duanya, tetapi ini akan memberi anda pilihan untuk menggunakan mana-mana medan pada masa hadapan.
Jika produk atau varian anda mempunyai berbilang warna yang boleh ditapis, maka tetapkan definisi medan meta anda untuk membenarkan senarai entri. Hal ini membolehkan anda menetapkan berbilang entri metaobjek pada satu item dan setiap satu akan dipaparkan sebagai nilai penapis di kedai anda.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Penapis.
Klik Tambah penapis atau klik penapis sedia ada.
Klik medan Sumber, kemudian pilih penapis medan meta jenis Kategori, Produk atau Varian.
Tetapkan medan Label untuk nilai penapis dengan memilih medan meta.
Tandai Sertakan visual dan pilih gaya visual:
- Pilih Sampel untuk sampel atau corak warna yang kecil. Tetapkan kandungan sampel dengan memilih:
- Medan warna untuk Warna sampel.
- Medan imej untuk Corak sampel.
- Pilih Imej untuk ikon, logo atau grafik lain yang tidak seharusnya dipangkas. Tetapkan kandungan dengan memilih medan imej untuk Imej.
- Pilih Sampel untuk sampel atau corak warna yang kecil. Tetapkan kandungan sampel dengan memilih:
Kelakuan penapis
Hanya penapis yang boleh digunakan pada produk di halaman koleksi atau hasil carian yang dipaparkan.
Memilih nilai penapis daripada penapis yang berbeza merupakan syarat dan yang boleh mengurangkan bilangan produk yang dipaparkan. Contohnya, memilih Merah daripada penapis Warna dan 8 daripada penapis Saiz mengembalikan produk yang berwarna merah dan bersaiz 8.
Secara lalai, memilih nilai penapis daripada penapis yang sama merupakan syarat atau yang boleh meningkatkan bilangan hasil. Contohnya, memilih nilai Merah dan Hijau daripada penapis Warna akan mengembalikan semua produk yang berwarna merah atau hijau. Sesetengah jenis penapis juga boleh menggunakan syarat dan untuk nilai penapisnya. Ketahui cara untuk menyesuaikan kelakuan penapis dengan aplikasi Shopify Search & Discovery.
Bilangan produk yang dipaparkan juga bergantung pada sama ada penapis tersebut merupakan penapis tahap produk atau tahap varian. Contohnya, pelanggan boleh memilih berbilang nilai Warna daripada penapis pilihan produk, tetapi hanya satu produk yang dipaparkan. Hal ini demikian kerana pilihan produk ialah penapis tahap varian dan semua warna tergolong dalam varian bagi satu produk tersebut.
Menyesuaikan kelakuan penapis
Untuk penapis tag produk, senarai medan meta dan senarai rujukan metaobjek, anda boleh menetapkan syarat penapis antara nilai menjadi sama ada syarat lalai atau ataupun syarat dan. Contohnya, dengan penapisan dan, memilih Baharu dan Jualan daripada penapis tag produk hanya akan mengembalikan produk yang memiliki kedua-dua tag tersebut.
Langkah-langkah:
Daripada pentadbir Shopify anda, pergi ke Aplikasi > Search & Discovery.
Klik Penapis, kemudian klik Tambah penapis.
Klik medan Sumber, kemudian pilih sumber penapis yang anda mahu sediakan untuk pelanggan anda.
Pilih kelakuan untuk digunakan pada nilai penapis dalam bahagian Logik.
Klik Simpan.
Terjemahan penapis
Label, nilai dan kumpulan penapis boleh diterjemahkan ke dalam bahasa yang disokong lain di kedai anda. Anda boleh menterjemahkan kandungan dengan aplikasi terjemahan seperti Shopify Translate & Adapt.
Apabila tiada kandungan yang diterjemahkan untuk penapis, bahasa lalai kedai akan digunakan.
Nilai penapis adalah berdasarkan kandungan yang diterjemahkan untuk produk dan varian produk anda.
Bilangan nilai penapis mungkin akan berbeza antara bahasa. Contohnya, bahasa lalai kedai anda ialah bahasa Inggeris dan anda juga menambahkan bahasa Perancis sebagai bahasa yang disokong. Nilai penapis Warna anda menyertakan nilai Coklat. Bahasa Inggeris mempunyai satu perkataan umum untuk coklat dan bahasa Perancis mempunyai dua perkataan umum. Aplikasi terjemahan anda menterjemahkan nilai penapis Coklat secara automatik kepada Brun atau Marron merentasi produk kedai tersebut. Penapis laman kedai anda akan memaparkan satu nilai untuk coklat dalam penapis Warna dalam bahasa Inggeris dan dua nilai untuk coklat dalam bahasa Perancis.
Untuk mengekalkan hanya satu terjemahan bagi setiap nilai penapis, anda perlu menyunting kandungan produk yang diterjemahkan menggunakan aplikasi terjemahan.
Bahasa pasaran
Terjemahan nilai penapis tidak menyokong keadaan tambahan bagi bahasa yang disediakan untuk pasaran khusus. Contohnya, kedai dalam talian boleh mempunyai terjemahan produk untuk bahasa Perancis dan dua terjemahan bahasa Perancis tambahan untuk pasaran Kanada dan Perancis. Dalam kes ini, semua nilai penapis adalah berdasarkan bahasa Perancis umum, walaupun pelanggan sedang membeli-belah dalam bahasa Perancis untuk pasaran khusus tersebut.
Label penapis dan kumpulan penapis menyokong terjemahan bahasa untuk pasaran khusus.
Penyelesaian masalah penapis
Semak penyelesaian yang berikut untuk isu penapis yang biasa berlaku:
Penapis harga tiada di kedai berbilang mata wang
Jika anda mempunyai penetapan harga antarabangsa atau berbilang mata wang yang diaktifkan, maka penapis harga tidak dipaparkan apabila pelanggan memilih sebarang mata wang selain daripada mata wang lalai kedai anda. Ini ialah pengehadan semasa fungsi penapis harga.
Penyelesaian masalah isu paparan penapis
Jika penapis wujud tetapi tidak menunjukkan semua produk atau pilihan penapis yang dijangkakan, isu ini mungkin berkaitan dengan pengindeksan carian kedai anda. Hal ini boleh berlaku apabila:
- Anda baru-baru ini menambahkan nilai medan meta baharu pada produk
- Produk baru-baru ini dikemaskinikan dengan maklumat baharu yang berkaitan dengan penapis
- Data carian kedai anda tidak segerak
Untuk menyelesaikan isu pengindeksan, cuba langkah ini:
- Tunggu 24–48 jam untuk pengindeksan semula automatik selesai
- Buat kemas kini kecil pada produk yang terjejas (seperti menambahkan ruang pada tajuk produk) dan simpan untuk mencetuskan pengindeksan semula
- Hubungi Sokongan Shopify jika isu berterusan
Penapis pilihan produk menunjukkan nilai yang tidak dijangka
Penapis pilihan produk memaparkan nilai berdasarkan tajuk pilihan varian produk anda. Jika penapis memaparkan nilai yang tidak dijangka atau pilihan yang tiada:
- Sahkan bahawa nama pilihan produk anda sepadan dengan tepat merentas produk (contohnya, gunakan “Warna” secara konsisten dan bukan mencampurkan “Warna” dan “Warna:”)
- Pastikan bahawa produk yang menggunakan penapis mempunyai pilihan produk yang dikonfigurasikan
Penapis tidak dipaparkan
Penapis mungkin tidak dipaparkan dalam situasi tertentu disebabkan had produk:
- Koleksi: Penapis disembunyikan jika koleksi mengandungi lebih daripada 5,000 produk
- Hasil carian: Penapis disembunyikan jika hasil carian mengembalikan lebih daripada 100,000 produk
Jika koleksi atau hasil carian anda melebihi had ini, maka penapis tidak akan tersedia untuk pelanggan pada halaman tersebut.
Nilai penapis hilang atau tidak lengkap
Penapis mempunyai had pada bilangan nilai unik yang boleh dipaparkan:
- Tag: Hingga 5,000 nilai tag unik
- Pilihan dan atribut produk: Hingga 1,000 nilai unik
- Medan meta: Sesetengah nilai mungkin hilang bergantung pada cara medan meta distrukturkan
Jika nilai penapis anda hilang, sahkan bahawa anda belum melebihi had ini.
Isu terjemahan penapis
Jika penapis atau nilai penapis tidak dipaparkan dengan betul dalam bahasa berbeza:
- Sahkan bahawa kandungan diterjemahkan dalam aplikasi terjemahan anda
- Ingat bahawa penapis tag produk dan vendor hanya dipaparkan dalam bahasa lalai kedai anda
- Gunakan penapis medan meta untuk sokongan terjemahan yang lebih baik merentas pelbagai bahasa