Mencipta model 3D untuk pedagang
Apabila anda membina model 3D produk bagi pihak pedagang, model tersebut perlu memenuhi piawaian tertentu. Jika model anda memenuhi piawaian tersebut, pedagang akan menerima model serba guna yang berkualiti tinggi, yang boleh digunakan untuk pelbagai pengalaman berbeza, termasuk realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR), pemaparan produk dan pemasaran. Jika model tidak memenuhi piawaian, maka pedagang mungkin akan menolak model tersebut.
Panduan ini menerangkan piawaian pemodelan yang perlu dipenuhi oleh model 3D dan menyerlahkan beberapa perangkap biasa yang mungkin mengakibatkan pedagang menolak model.
Pada halaman ini
Perisian pemodelan 3D yang biasa digunakan
Perisian 3D yang berikut biasanya digunakan untuk mencipta model 3D bagi pedagang:
Maya
Autodesk Maya ialah piawaian industri bagi pemodelan 3D. Maya mempunyai semua alat yang anda perlukan untuk mencipta model 3D berkualiti tinggi.
Blender
Blender ialah alternatif percuma dan pilihan yang hebat untuk mula membuat pemodelan 3D. Perisian ini juga berguna untuk pratonton fail model 3D.
3ds Max
3ds Max merupakan satu lagi perisian pemodelan 3D daripada Autodesk. 3ds Max bukan berpusatkan pemodelan seperti Maya, tetapi masih mempunyai semua alat yang mungkin anda perlukan.
ZBrush
ZBrush Pixologic ialah program mengarca yang intuitif. Dalam ZBrush, adalah mudah untuk mencipta permukaan lembut dan perincian berkualiti tinggi, tetapi ia tidak ideal untuk mencipta mes yang dioptimumkan.
Substance Painter
Substance Painter ialah alat teguh yang membolehkan anda mencipta tekstur berkualiti tinggi dengan mengecatnya secara langsung pada model dalam ruang 3D. Anda juga boleh menggunakannya untuk mengeksport model dalam format GLB.
Photoshop
Adobe Photoshop ialah pilihan yang berpatutan, tetapi kurang sesuai untuk mencipta tekstur 3D berbanding Substance Painter.
Ciri-ciri model berkualiti tinggi
Di bawah ialah beberapa amalan terbaik yang patut anda ikuti apabila mencipta model produk. Amalan terbaik ini membantu anda menghasilkan model yang tepat dan berkualiti tinggi yang boleh digunakan dalam pelbagai cara, termasuk AR Quick Look, pemapar 3D dalam pelayar, realiti maya dan pemaparan produk.
Ketepatan visual
Model kelihatan serupa dengan foto rujukan.
Model dibina berdasarkan skala dunia sebenar. Pemodel harus menggunakan unit yang betul untuk membina model mengikut saiz tepat produk sebenar:

Kualiti jaringan
Model hanya mempunyai jumlah geometri yang perlu:

Kiri: Model dengan jumlah geometri yang perlu. Kanan: Model dengan terlalu banyak geometri. Tiada poligon hitam pada model. Poligon hitam ialah tanda bahawa terdapat kesilapan pada model, seperti dua permukaan bertindih atau normal yang perlu dinyahkunci:

Bahagian individu dimodelkan secara berasingan dan kemudian digabungkan seolah-olah memasang produk sebenar:

Kiri: Komponen beg dimodelkan secara berasingan. Kanan: Komponen beg yang digabungkan. Tepi produk diserongkan untuk melicinkan transisi:

Kiri: Kiub dengan tepi yang diserongkan dengan betul. Kanan: Kiub dengan tepi yang tidak diserongkan.
Pemaparan berasaskan fizikal
Tekstur dieksport menggunakan aliran kerja pemaparan berasaskan fizikal (PBR).
Untuk fail GLB, anda perlu mengeksport peta tekstur yang berikut:
- baur
- normal
- peta tunggal dengan oklusi, kekasaran dan kemetalikan yang masing-masing dipetakan ke saluran merah, hijau dan biru
- emisif (pilihan)
Kualiti bahan
Bahan yang ditetapkan pada geometri sepadan dengan foto rujukan produk.
Terdapat nuansa dan kehalusan yang sering diabaikan dalam model yang berkualiti rendah. Calar kecil, goresan dan ketidaksempurnaan semuanya membantu menjadikan model kelihatan lebih meyakinkan:

Saiz fail tekstur adalah sekecil mungkin tetapi mengekalkan resolusi.
Terdapat hanya satu peta tekstur untuk setiap ciri model, seperti kekasaran, kemetalikan dan oklusi ambien:

Untuk fail GLB, anda perlu menyertakan peta berikut:
- baur
- normal
- peta tunggal dengan oklusi, kekasaran dan kemetalikan yang masing-masing dipetakan ke saluran merah, hijau dan biru
- emisif (pilihan)
Pemodelan untuk semakan
Jaringan dikuadrangulasi, yang bermaksud ia menggunakan geometri empat sisi. Geometri kuadrangulasi adalah lebih baik melainkan format fail yang diperlukan mengutamakan geometri yang ditriangulasi (tiga sisi):

Kiri: Model dikuadrangulasi. Kanan: Model ditriangulasi. Pemodel mengekalkan fail kerja yang baik. Mengekalkan versi fail model sebelum transformasi dibekukan atau sejarah dipadamkan membantu untuk mengelakkan masalah pada kemudian hari.
Kiraan poligon
- Kiraan poligon model adalah serendah mungkin sambil mengekalkan semua butiran produk.
- Model ini mematuhi had kiraan poligon bagi format media yang berbeza di mana model tersebut mungkin digunakan, seperti siaran 3D Facebook, AR Quick Look dan VR.
Susun atur UV
Semua petala UV dipetakan pada satu peta tekstur tunggal.
Semua petala UV diletakkan dalam ruang 1:1.
Tiada petala UV yang bertindih.
Kelim UV diletakkan pada sempadan semula jadi model 3D.
Petala UV dibentangkan secara manual menggunakan teknik pembentangan yang betul. Alat pembentangan automatik tidak digunakan:

Asalan produk
Asalan produk ditengahkan pada dasar produk:

Amalan mengeksport
- Semua objek telah digabungkan menjadi satu objek.
- Semua tepi telah dilembutkan.
- Dasar model telah diletakkan pada asalan grid.
- Semua transformasi telah dibekukan.
- Semua sejarah telah dipadamkan.
- Hanya satu bahan ditetapkan pada model, melainkan jika sebaliknya diperlukan.
Keperluan teknikal
- Model telah dihantar kepada pedagang dalam format GLB. Untuk mengetahui lebih lanjut, lawati Menghantar model yang telah siap kepada pedagang.
- Jumlah saiz fail hendaklah kira-kira 4 MB. Sesetengah medium mungkin memerlukan saiz yang lebih kecil.
- Tekstur hendaklah fail JPG yang dioptimumkan, jika boleh.
Sampel model
Model berikut memenuhi semua kriteria dalam senarai semak standard pemodelan 3D. Model yang anda berikan kepada pedagang hendaklah mempunyai kualiti yang serupa.
Produk lembut dan produk keras
Produk lembut mempunyai bentuk yang boleh dipengaruhi oleh sentuhan dan graviti. Beberapa contoh termasuk pakaian, selimut dan bantal. Produk lembut harus kelihatan fleksibel. Ia harus mempunyai lipatan dan kedutan untuk realisme. Produk lembut harus dimodelkan dengan cara yang memaparkan graviti bertindak ke atasnya. Ingat cara pedagang mahukan item itu dipaparkan, seperti dilipat dengan kemas, digantung pada penyangkut atau dibentang rata.
Produk keras mengekalkan bentuknya walaupun terdapat kesan sentuhan dan graviti. Beberapa contoh termasuk pasu, pinggan mangkuk dan elektronik. Ia harus mempunyai tepi dan geometri yang kemas. Permukaannya biasanya licin sempurna dan memantulkan cahaya dengan baik. Ketidaksempurnaan ada pada tekstur tetapi bukan geometri. Tepi harus diserongkan untuk menambahkan realisme.

Produk sangat terperinci dan produk berskala besar
Produk sangat terperinci mempunyai tekstur, label atau logo yang memerlukan perhatian khusus. Produk mestilah jelas dan tajam pada pandangan mata. Amat penting untuk ruang teksturnya dioptimumkan sepenuhnya. Teksturnya mestilah diwarnakan dengan kemas. Mulakan pewarnaan tekstur dengan resolusi tinggi dan kemudian mampatkan fail jika perlu. Benarkan bahagian geometri dengan logo dan teks mengambil lebih banyak ruang pada peta UV, jika perlu.
Produk berskala besar mengambil lebih banyak ruang berbanding produk biasa. Beberapa contoh termasuk sofa, kereta dan basikal. Amat penting untuk tekstur jenis produk ini dioptimumkan sepenuhnya. Produk ini akan menjadi lebih besar dalam pemandangan, jadi tekstur yang diregangkan atau beresolusi rendah akan lebih ketara kepada pengguna. Tekstur untuk produk berskala besar selalunya perlu bersaiz sekurang-kurangnya 2K. Mulakan pewarnaan dengan tekstur resolusi tinggi dan kemudian mampatkan fail, jika perlu.

Jangkaan masa
Anda harus membincangkan jangkaan untuk sesebuah model dengan pedagang sebelum proses pemodelan bermula. Anda perlu memberi pedagang anggaran berapa lama masa yang akan diambil untuk mencipta model berdasarkan foto yang mereka sediakan. Faktor berikut boleh menjejaskan masa yang diambil untuk mencipta model:
- Kerumitan model
- Kerumitan tekstur
- Kuantiti pilihan varian
- Ketepatan dimensi yang diberikan oleh pedagang
- Kualiti dan kuantiti foto produk yang disediakan oleh pedagang
Semakan kualiti
Apabila anda mendapati sesuatu model itu sudah siap, anda dan pedagang harus menyemaknya sebelum anda menghantar semua fail yang telah disiapkan kepada mereka. Pedagang paling mengetahui produk mereka, dan mereka boleh menentukan sama ada suatu model itu mewakili produk mereka dengan tepat.
Untuk melengkapkan semakan anda sendiri, anda perlu menggunakan senarai semak standard. Menggunakan senarai semak memastikan bahawa sesuatu model adalah setepat dan dibina sebaik mungkin sebelum anda menghantarnya kepada pedagang. Hal ini bermakna kemungkinan untuk anda terpaksa menyemak semula model selepas anda menyerahkannya adalah kurang, yang mana dapat memendekkan masa pemulihan untuk sesuatu model.
Apabila anda menghantar model kepada pedagang, pastikan anda melakukan yang berikut:
- Hantar model dalam format yang boleh diperiksa dalam 360 darjah.
- Semak dan pastikan pedagang mempunyai peranti yang sesuai untuk mempratonton model tersebut.
- Semak dan pastikan fail berfungsi dalam format yang diperlukan, jika berkenaan.
Apabila semua item pada senarai semak standard telah dipenuhi dan pedagang berpuas hati dengan model 3D tersebut, model itu boleh dianggap diluluskan.
Berikut ialah beberapa isu kualiti lazim yang boleh menyebabkan model ditolak oleh pedagang:
Skala tidak betul
Model ini tidak sama saiz dengan produk sebenar. Apabila model diletakkan dalam realiti terimbuh di sebelah produk sebenar, ia sepatutnya mempunyai saiz yang sama.
Komponen tidak seimbang
Sesuatu komponen dalam model 3D tidak seimbang dengan komponen model yang lain. Pastikan anda mengumpul maklumat yang mencukupi tentang bahagian-bahagian produk sebelum anda memulakan suatu model. Mempunyai foto rujukan daripada berbilang sudut amat membantu agar anda boleh melihat komponen daripada semua sisi dan anda tidak membina hanya berdasarkan ukuran bertulis semata-mata.
Geometri tidak baik
Mungkin terdapat kesilapan dalam geometri yang menjejaskan cara model dipaparkan. Contoh berikut ialah kesilapan lazim yang perlu diberi perhatian:
- Pelicinan tidak baik
- Penyerongan tepi tidak baik
- Poligon dengan lima sisi berbanding empat, yang boleh menyebabkan kesan ronyokan
- Z-fighting (poligon pendua di tempat yang sama)
- Desimasi atau triangulasi (sentiasa gunakan sisi empat jika boleh)
- Kliping atau penembusan bersilang
- Berbilang set UV
- Berbilang bahan digunakan semasa mengeksport
Geometri tidak tertutup
Dalam realiti terimbuh atau sesetengah media lain, lubang dan jurang pada geometri mudah dilihat. Pastikan semua tepi ditutup dan titik telah disambungkan.
Bentuk tidak betul
Bentuk model tidak sepadan dengan produk. Periksa perkadaran dan bentuk dengan teliti. Siluet model anda harus sepadan dengan foto rujukan produk.
Bahan tidak tepat
Bahan model tidak sepadan dengan produk. Bahan terperinci ialah kunci kepada kebolehpercayaan. Pastikan bahan tersebut mempunyai tahap pemantulan, kekilatan dan ketelusan yang betul.
Tekstur beresolusi rendah dan kabur
Fail tekstur beresolusi rendah dan kabur. Apabila anda mencipta fail tekstur, mulakan dengan resolusi tinggi. Anda kemudiannya boleh menurunkan skala resolusi tersebut, bergantung pada saiz fail tekstur yang anda perlukan. Untuk web mudah alih, fail tekstur tidak boleh lebih besar daripada 2048 x 2048 px. Anda boleh menggunakan campuran tekstur pelbagai saiz untuk mengoptimumkan saiznya.
UV herot
UV model terherot. Perhatikan sebarang regangan atau keherotan pada UV. Pastikan ruang yang secukupnya diberikan kepada item yang memerlukan butiran atau tumpuan lebih lanjut (seperti logo dan teks yang seharusnya dipaparkan).
Menyerahkan model yang siap kepada pedagang
Apabila sesuatu model disiapkan dan diluluskan, anda boleh menyerahkan semua fail model kepada pedagang menggunakan sebarang kaedah yang paling sesuai untuk anda dan mereka. Contohnya, anda mungkin menggunakan e-mel atau Dropbox.
Serahkan semua model 3D sebagai fail GLB. Format GLB digunakan oleh kebanyakan pemapar 3D. Fail GLB merupakan fail tunggal yang menyertakan model dan teksturnya.
Tiga panduan berikut menerangkan cara untuk mencipta fail GLB dengan menggunakan tiga program pemodelan 3D yang popular: