Mengambil gambar produk

Penggunaan gambar produk berkualiti tinggi pada kedai anda menunjukkan kepada pelanggan anda tentang perkara yang akan mereka peroleh jika mereka membeli produk anda. Kedai dalam talian anda kelihatan lebih profesional dengan fotografi produk berkualiti baik dan ini boleh meningkatkan kepercayaan pelanggan pada jenama anda.

Jika anda ingin mengambil gambar yang berkualiti baik di rumah, terdapat beberapa alat yang boleh anda gunakan serta langkah yang boleh anda ambil untuk menghasilkan keputusan yang terbaik.

Takrifan fotografi

  • Apertur - Apertur ialah bukaan dalam lensa kamera yang dilalui cahaya untuk memasuki kamera. Saiznya boleh diubah suai untuk mengawal jumlah cahaya yang sampai pada penderia atau filem. Diameter apertur, juga dikenali sebagai f-stop, mempengaruhi pendedahan dan kedalaman medan.
  • Keutamaan apertur - Keutamaan apertur ialah mod kamera yang membolehkan anda menetapkan apertur secara manual dan kamera memilih kelajuan pengatup secara automatik.
  • Kedalaman medan - Kedalaman medan mentakrifkan kawasan dengan fokus yang tajam. F-stop yang lebih rendah menghasilkan kedalaman medan atau kawasan terfokus yang lebih cetek.
  • Pendedahan - Pendedahan kamera ialah jumlah keseluruhan cahaya yang mencapai filem atau penderia kamera apabila gambar diambil. Ia menentukan keseluruhan kecerahan atau kegelapan sesuatu gambar.
  • F-stop - F-stop ialah jarak fokus lensa. F-stop menentukan jumlah cahaya yang dibenarkan untuk mengenai penderia melalui bukaan apertur kamera.
  • ISO - ISO mengawal sensitiviti penderia. Semakin tinggi ISO, semakin banyak hingar yang berlaku. Selalunya, tahap terendah yang boleh anda tetapkan pada ISO kamera anda ialah ISO 100, jadi gunakannya jika anda boleh berbuat demikian.
  • Kelajuan pengatup - Kelajuan pengatup ialah jangka masa lensa terbuka dan penderia kamera terdedah kepada cahaya semasa mengambil gambar. Kelajuan pengatup yang perlahan menangkap kekaburan subjek yang sedang bergerak. Kelajuan pengatup yang tinggi membolehkan anda membekukan satu milisaat dalam masa.
  • Imbangan putih - Imbangan putih ialah pelarasan yang dilakukan pada imej untuk mengimbangi suhu cahaya yang menerangi sesuatu tempat. Kamera menawarkan beberapa nilai pratetap berdasarkan jenis pencahayaan yang paling biasa, tetapi ini juga boleh ditetapkan secara manual semasa atau selepas tangkapan.

Alat untuk fotografi produk

Gambar yang baik terhasil daripada serangkaian pilihan yang menggabungkan keputusan tentang pencahayaan, pendedahan, penggayaan dan pascapemprosesan.

Jika anda ingin mengambil gambar yang paling kelihatan profesional dari rumah anda, anda mungkin mahu menggunakan sebahagian atau semua kelengkapan berikut:

  • lokasi yang betul (bilik yang mempunyai tingkap)
  • sebuah kamera
  • sebuah tripod
  • sebuah meja
  • latar belakang putih
  • pita pelekat
  • kad pemantul putih yang diperbuat daripada papan busa atau kertas

1. Memilih lokasi

Jika anda bukan pakar fotografi dan tidak memiliki lampu fotografi, maka anda perlukan sebuah bilik dengan tingkap yang membolehkan anda mengambil gambar di sebelahnya. Mentol lampu dalaman dan kilat kamera terbina dalam boleh menghasilkan kontras yang teruk, pantulan cahaya dan anjakan warna yang tidak diingini pada gambar anda.

Anda boleh meletakkan persediaan anda lebih dekat dengan tingkap untuk mencipta cahaya yang lebih lembut dengan bayang-bayang yang lebih gelap dan lembut. Anda juga boleh meletakkan persediaan anda lebih jauh untuk memberikan cahaya yang lebih sekata tetapi dengan bayang-bayang yang lebih tajam dan cerah.

2. Memilih kamera

Anda harus mengambil foto produk dengan kamera terbaik yang anda ada.

Walaupun kamera berkualiti tinggi boleh menghasilkan imej berkualiti lebih tinggi, anda tidak memerlukan peralatan tahap profesional untuk mendapatkan hasil yang baik. Anda boleh menggunakan DSLR yang berpatutan harganya, kamera tunjuk dan petik, atau telefon pintar anda.

3. Memilih tripod

Anda mungkin memerlukan tripod untuk menstabilkan kamera anda. Tripod adalah lebih penting apabila anda menggunakan tetapan kamera manual, terutamanya dalam keadaan kurang cahaya.

Sebagai contoh, jika anda menggunakan telefon pintar di hadapan tingkap yang sangat besar, maka anda mungkin tidak memerlukan tripod, namun tripod mungkin masih berguna untuk kestabilan.

Jika anda menggunakan DSLR manual, anda mungkin perlu menggunakan tripod untuk menstabilkan kamera bagi menggunakan apertur yang sangat kecil dan kelajuan pengatup yang lebih perlahan. Apabila anda menggunakan tetapan ini, anda membenarkan paling banyak cahaya masuk sambil mendapatkan kedalaman medan paling besar, tetapi anda juga mewujudkan potensi kekaburan kamera.

4. Memilih permukaan anda

Anda boleh menggunakan sebarang meja yang anda ada dan letakkannya berhampiran tingkap. Lebar meja standard yang sesuai untuk fotografi produk adalah antara 24 hingga 27 inci.

5. Mencipta latar belakang putih

Pastikan produk anda merupakan fokus utama gambar dengan mengalih keluar gangguan visual. Meletakkan produk anda di hadapan latar belakang berwarna putih bersih dapat memastikan produk anda menjadi tumpuan utama.

Terdapat pelbagai pilihan latar belakang bergantung pada belanjawan anda. Semak gedung serbaneka atau kedai barangan pejabat tempatan anda untuk mendapatkan papan poster putih, atau cari dalam talian.

Anda juga boleh membeli latar belakang fotografi yang lebih profesional yang dipanggil sweep, iaitu segulung kertas pada penggelek. Jika anda berhasrat untuk melakukan banyak fotografi produk, sweep boleh memberikan manfaat kerana apabila bahagian yang digunakan menjadi kotor, anda boleh memotong bahagian tersebut dan menarik sekeping kertas baharu ke bawah.

6. Mengukuhkan set anda dengan pita

Anda boleh menggunakan pita atau pengapit untuk menahan papan atau sweep kertas anda ke bawah, bergantung pada jenis meja yang anda gunakan, supaya papan atau sweep kertas anda melengkung dengan betul pada kecerunan 90 darjah.

7. Menggunakan kad pemantul

Jika anda mahukan kawalan yang lebih terhadap cahaya dalam gambar anda, anda boleh menggunakan sama ada papan busa putih untuk memantulkan cahaya, atau papan busa hitam untuk menyerap cahaya.

Apabila anda menerangi produk anda dengan cahaya semula jadi, wujud bahagian cerah tempat cahaya menyinarinya, dan sisi bayang-bayang. Sisi bayang-bayang kadangkala boleh menjadi terlalu gelap, jadi anda boleh menggunakan sesuatu yang berwarna putih untuk memantulkan kembali cahaya ke dalam bayang-bayang bagi menjadikannya lebih cerah.

Secara alternatif, anda boleh menggunakan papan busa hitam untuk menjadikan bayang-bayang lebih pekat. Ini amat berguna jika anda mengambil gambar produk putih pada latar belakang putih. Anda boleh menambah papan busa hitam di bahagian sisi, di luar sempadan gambar dan di belakang produk untuk menghasilkan tepi yang gelap pada produk putih tersebut.

Anda mungkin boleh membeli papan busa dari gedung serbaneka atau kedai seni. Anda juga boleh sekadar menyandarkan sehelai kertas pencetak putih atau menggunakan sekeping papan poster.

Tetapan dan teknik fotografi

Berikut ialah senarai langkah yang boleh anda ambil untuk mencipta set fotografi anda dan melaraskan tetapan kamera:

  1. Menyiapkan meja anda
  2. Menyiapkan sweep anda
  3. Melaraskan tetapan kamera anda
  4. Menyiapkan produk anda
  5. Menyiapkan kad pemantul anda
  6. Mengambil gambar dan menilai
  7. Menyentuh semula imej anda
  8. Mengoptimumkan imej untuk tapak web anda

1. Menyiapkan meja anda

Letakkan meja anda sehampir mungkin dengan tingkap tanpa bersilang dengan bayang-bayang dari ambang tingkap. Mulakan dengan tingkap pada kedudukan 90 darjah ke kanan atau kiri persediaan anda. Pastikan tiada cahaya matahari langsung yang terlalu terang mengenai set anda.

Anda juga boleh cuba memutarkan set supaya tingkap berada pada sudut 45 darjah ke set, atau halakannya supaya tingkap berdepan terus ke set untuk mendapatkan gaya pencahayaan semula jadi yang berbeza.

Matikan semua lampu lain di dalam bilik tempat anda merakam, kerana cahaya lain akan mencemarkan set tersebut.

2. Menyiapkan sweep anda

Jika anda mahukan latar belakang putih yang lancar, anda mungkin ingin melekukkan (sweep) set anda. Dalam fotografi produk, melekukkan bermaksud menetapkan papan pelekap atau kertas anda supaya melengkung daripada keadaan rata di atas meja menjadi menegak. Anda mungkin perlu menggulung papan untuk membantunya membentuk rupa tersebut.

Satu contoh persediaan adalah dengan meletakkan meja bersandar pada dinding dan sweep tersebut dilekatkan pada dinding dan meja menggunakan pita. Jika anda tidak mempunyai dinding, anda boleh membuat sesuatu untuk menyokong bahagian belakang sweep tersebut.

Letakkan produk anda di bahagian tengah pada permukaan sweep yang rata dan biarkan ruang yang cukup untuk menambah kad pemantul putih anda nanti.

3. Melaraskan tetapan kamera anda

Sebelum anda mula melaraskan tetapan dedahan pada kamera, pastikan kamera anda disediakan dengan tetapan berikut:

  1. Tetapkan imbangan putih (WB) anda kepada automatik.
  2. Matikan tetapan denyar anda.
  3. Tetapkan tetapan imej anda kepada kualiti tertinggi. Cari L untuk saiz Besar (Large) dan kualiti Superhalus (Superfine).
  4. Tetapkan ISO anda kepada 100.

Pilihan A: Tetapkan kamera anda kepada mod Manual (M)

Anda mempunyai kawalan terbesar ke atas fotografi anda apabila merakam dalam mod manual. Dalam mod manual, anda menetapkan hentian f dan kelajuan pengatup anda secara berasingan.

Langkah:

  1. Tetapkan hentian f anda kepada nombor tertinggi, yang memberi anda kedalaman medan yang paling luas.
  2. Laraskan kelajuan pengatup anda untuk menjadikannya cukup cerah supaya imej didedahkan dengan betul dalam pratonton imej.

Pilihan B: Gunakan mod Keutamaan Apertur (AV)

Dalam mod keutamaan apertur, anda menetapkan hentian f, kemudian kamera akan melaraskan kelajuan pengatup secara automatik agar bersesuaian dengan hentian f yang telah anda pilih.

Langkah:

  1. Tetapkan hentian f pada nombor yang paling tinggi.
  2. Pilihan: Jika kelajuan pengatup yang dipilih oleh kamera kelihatan tidak tepat, anda mungkin perlu menggunakan dail pampasan dedahan untuk menambah cahaya.

Pilihan C: Pendedahan Automatik

  1. Jika anda mempunyai dail pampasan pendedahan, anda mungkin perlu menambahkan +1 atau +1½ untuk mendapatkan pendedahan yang betul. Jika anda hanya mempunyai pratetapan untuk dipilih, cuba pilih pratetapan cahaya rendah seperti Matahari Terbenam.

4. Menyediakan produk anda

Luangkan masa untuk memposisikan produk anda dengan sewajarnya dalam set anda. Ambil beberapa gambar ujian untuk memastikan semua butiran penting produk kelihatan. Anda mungkin perlu membuat banyak pergerakan kecil untuk memastikan semuanya sejajar dengan sempurna daripada sudut pandangan kamera.

Contohnya, jika produk anda ialah botol, pastikan kedudukan teks label berada di tengah.

5. Menyediakan kad pemantul anda

Jika anda menggunakan kad pemantul putih, uji sudut yang berbeza untuk memerhatikan cara pemantul tersebut mengubah pencahayaan. Cahaya memantul dari kad dan mengisi bayang-bayang.

6. Mengambil gambar dan menilai

Apabila anda mengambil gambar yang pertama, luangkan masa untuk melihat imej tersebut. Pertimbangkan teknik yang berkesan, teknik yang tidak berkesan dan perkara yang boleh anda lakukan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

Ambil gambar dari pelbagai sudut untuk memberikan perspektif berbeza tentang produk kepada pelanggan anda. Sesetengah pelanggan mungkin lebih suka imej jarak dekat manakala pelanggan lain mungkin mahu melihat item dari arah depan.

Beberapa sudut kamera untuk dicuba ialah:

  • aras mata, yang memaparkan produk anda seperti yang anda lihat dari arah depan.
  • sudut tinggi, yang memaparkan produk anda seolah-olah anda memandangnya dari atas.
  • sudut rendah, yang memaparkan produk anda seolah-olah anda memandangnya dari bawah.
  • pandangan mata burung, yang memaparkan produk anda seolah-olah anda berdiri di atasnya.

7. Menyentuh semula imej anda

Apabila anda memperoleh imej akhir yang memuaskan hati, anda boleh menggunakan perisian pengeditan foto untuk menyentuh semula mana-mana bahagian yang memerlukan penambahbaikan, seperti mencerahkan latar belakang kepada warna putih tulen.

Terdapat pelbagai perisian sentuhan semula yang tersedia, dan bergantung pada julat harga, anda mungkin ingin mengupah seorang profesional untuk melakukan tugas ini. Anda juga boleh mencari aplikasi di Shopify App Store atau mengupah Rakan Kongsi Shopify.

8. Mengoptimumkan dan mengubah saiz imej untuk laman web anda

Anda disyorkan untuk menggunakan alat pengeditan imej bagi mengoptimumkan dan mengubah saiz foto berkualiti tinggi anda untuk keperluan web. Imej yang besar boleh menyumbang kepada masa pemuatan halaman yang lebih lambat. Saiz imej yang baik ialah tidak lebih besar daripada 200 KB. Semakin rendah nilainya, semakin baik.

Terdapat pelbagai alat dan perisian dalam talian yang boleh anda gunakan untuk mengoptimumkan imej bagi kegunaan web. Anda juga boleh menggunakan aplikasi daripada Shopify App Store atau mengupah Rakan Kongsi Shopify untuk membantu anda.