Menulis perihalan produk yang menarik
Untuk menulis perihalan produk yang menarik, pertimbangkan untuk menggunakan mana-mana atau semua taktik berikut.
Memfokuskan pada pelanggan ideal anda
Bayangkan pelanggan ideal atau khalayak sasaran anda semasa anda menulis perihalan produk anda dan sapa mereka secara langsung. Tanya dan jawab soalan seolah-olah anda sedang berbual dengan pelanggan ideal anda dan bukannya menulis secara umum tanpa ditujukan kepada sesiapa secara khusus.
Pertimbangkan untuk bertanyakan kepada diri anda beberapa soalan yang berikut:
- Apakah jenis jenaka yang dihargai oleh pelanggan anda, jika ada?
- Apakah perkataan yang digunakan oleh pelanggan anda? Apakah perkataan yang mereka benci?
- Apakah soalan yang ditanya oleh pelanggan anda yang perlu anda jawab?
Anda boleh cuba untuk memasukkan gaya bahasa itu ke dalam kedai anda supaya anda boleh mengadakan perbualan dalam talian yang serupa yang berasa lebih realistik dan tulen.
Memikat pelanggan dengan manfaat
Serlahkan manfaat produk anda supaya pelanggan anda tahu cara produk itu boleh membantu mereka. Anda mungkin ingin mengatur ciri dan manfaat produk anda dalam senarai berbulet serta menyertakan sebarang butiran teknikal.
Pertimbangkan soalan yang berikut:
- Bagaimanakah produk anda menjadikan pelanggan anda berasa lebih gembira, sihat atau produktif?
- Apakah masalah, gangguan dan kesulitan yang dapat diselesaikan oleh produk anda?
- Apakah ciri asas produk anda? Tuliskan sebarang dimensi, bahan, fungsi, arahan penjagaan dan butiran tentang padanan jika anda menjual pakaian.
- Bilakah produk paling sesuai digunakan? Adakah selimut selesa anda sangat sesuai untuk malam musim sejuk yang dingin dengan secawan koko panas di tepi pendiangan? Atau adakah selimut itu lebih sesuai untuk petang musim luruh yang nyaman ketika matahari terbenam? Serlahkan senario ideal apabila pelanggan patut menggunakan produk anda.
- Apakah yang menjadikan produk anda istimewa? Fikirkan tentang manfaat unik produk anda dan sebab produk itu lebih baik berbanding pesaing anda.
Mengelakkan pernyataan umum
Jadi khusus dalam perihalan produk anda. Butiran produk menambah kredibiliti dan membantu menjual produk anda. Penulisan sesuatu yang samar-samar seperti “kualiti produk yang cemerlang” tidak memberitahu pelanggan anda apa-apa yang kukuh dan keadaan ini mungkin menyebabkan mereka menjadi ragu-ragu jika anda tidak memberikan bukti.
Memberikan bukti bagi manfaat produk
Pastikan sebarang dakwaan yang anda buat tentang produk anda adalah berdasarkan fakta. Jika produk anda merupakan yang terbaik dalam kategorinya, berikan bukti mengenai sebab perkara ini benar. Jika tidak, sederhanakan salinan produk anda atau petik kata-kata pelanggan yang mengatakan bahawa produk anda ialah sesuatu yang paling menakjubkan yang pernah mereka gunakan.
Menarik imaginasi pelanggan anda
Jika kedai anda berada dalam talian, maka pelanggan tidak boleh memegang produk dalam tangan mereka. Bantu pelanggan anda membayangkan pengalaman memiliki produk anda. Cuba mulakan ayat dengan perkataan “bayangkan” dan habiskan ayat atau perenggan anda dengan menerangkan perasaan pembaca anda apabila memiliki dan menggunakan produk anda.
Menggunakan cerita mini untuk berhubung dengan pelanggan
Sertakan cerita mini dalam perihalan produk anda. Cerita membolehkan pelanggan mengaitkan diri dengan jenama anda dan berhubung dengan produk.
Apabila menceritakan kisah tentang produk anda, tanyakan pada diri anda soalan yang berikut:
- Siapakah yang membuat produk ini?
- Apakah yang memberi inspirasi dalam mencipta produk ini?
- Apakah halangan yang perlu anda atasi untuk membangunkan produk ini?
- Bagaimanakah produk ini diuji?
Menyertakan perkataan deria
Tarik perhatian pembaca anda dengan perihalan produk yang jelas. Kata sifat yang menerangkan interaksi deria dengan produk boleh membantu pelanggan anda untuk mengalami produk tersebut semasa mereka membaca.
Sebagai contoh, jika anda menjual produk makanan, maka fikirkan tentang perkataan seperti “selembut baldu”, “licin”, “rangup” dan “segar”.
Membina kepercayaan dengan bukti sosial
Sertakan testimoni pelanggan atau suapan media sosial supaya bakal pelanggan boleh membaca tentang pengalaman pelanggan sebelumnya dengan produk anda. Jika anda menyertakan testimoni pelanggan, maka cuba untuk menyertakan imej pelanggan yang menggunakan produk bagi menambahkan kredibiliti. Apabila anda berkongsi contoh orang sebenar yang menggunakan produk anda, bakal pelanggan boleh berasa lebih yakin dengan pilihan produk mereka.
Anda boleh menggunakan aplikasi ulasan pelanggan untuk merekodkan ulasan produk di laman web anda dan menyepadukan ulasan lain dari laman pihak ketiga seperti Google atau Facebook.
Menjadikan perihalan anda boleh diimbas
Pastikan perihalan produk anda jelas dan boleh diimbas supaya perihalan itu lebih mudah dibaca serta lebih menarik kepada bakal pelanggan.
Pertimbangkan bidang yang berikut untuk diberi tumpuan apabila anda menulis perihalan produk anda:
- Pikat pelawat web anda dengan tajuk utama.
- Gunakan bulet untuk senarai.
- Sertakan ruang putih yang banyak.
- Besarkan saiz fon anda untuk meningkatkan kebolehbacaan.
- Gunakan imej produk berkualiti tinggi.
Menetapkan matlamat untuk mengukur kejayaan
Tentukan set metrik untuk dijejak pada halaman produk anda bagi memahami sama ada perihalan produk anda mendorong kepada lebih banyak jualan. Mentakrifkan metrik ini membantu anda memahami perihalan produk yang paling berkesan dan kemudian menambah baik perihalan yang kurang berprestasi.
Beberapa metrik biasa untuk dipantau ialah:
- kadar penukaran
- pengabaian troli
- kadar pemulangan
- pertanyaan sokongan
- kedudukan carian organik
Anda boleh menjalankan pelbagai ujian A/B menggunakan aplikasi ujian A/B dari Shopify App Store, yang berpotensi menghasilkan penukaran yang lebih tinggi dan lebih banyak jualan untuk laman web e-dagang anda.