Penyambung Shopify untuk Claude
Anda boleh menggunakan penyambung Shopify untuk Claude bagi mencipta atau mengurus kedai Shopify tanpa meninggalkan sembang anda. Anda boleh menerangkan perniagaan yang ingin dimulakan dan mendapatkan pratonton laman kedai, menuntut pratonton sebagai kedai Shopify atau menyambungkan kedai yang sedia dimiliki.
Penetapan harga pelan Shopify standard diguna pakai pada kedai yang anda cipta atau jalankan mengikut cara ini dan tiada yuran Shopify tambahan dikenakan kerana menggunakan penyambung tersebut. Anda membayar sebarang kos langganan Claude kepada Anthropic dan bukannya kepada Shopify.
Pada halaman ini
Tindakan yang disokong oleh penyambung Shopify untuk Claude
Untuk bermula, buka Claude dan minta Shopify. Contohnya, anda boleh meminta Claude untuk membantu anda mencipta kedai Shopify bagi perniagaan lilin buatan tangan anda.
Penyambung menyokong tindakan yang berikut:
- Jana pratonton laman kedai: Huraikan perkara yang ingin anda jual, dan kemudian pilih pratonton yang sesuai dengan perniagaan anda. Pratonton bukanlah kedai Shopify sehinggalah anda menuntutnya.
- Tuntut kedai: Tuntut pratonton untuk mencipta kedai Shopify anda dan menjadi pemilik kedai. Untuk melengkapkan persediaan selepas anda menuntut kedai, rujuk menyediakan kedai yang dicipta dengan alat AI atau rakan kongsi kod suasana.
- Urus kedai milik anda: Sambungkan kedai yang sudah anda miliki, dan kemudian urus produk, koleksi, inventori, pesanan, pelanggan, diskaun dan analisis anda. Anda perlu mendaftar masuk dan meluluskan akses terlebih dahulu.
Perkara yang boleh dilakukan oleh penyambung di dalam kedai anda bergantung pada akses data yang anda luluskan dan pada kebenaran pengguna anda. Claude juga melaksanakan kawalan aksesnya yang tersendiri, jadi sambungan boleh dihadkan kepada perbualan yang khusus atau disekat oleh individu yang memiliki ruang kerja Claude anda. Untuk menyemak bahagian akses Shopify, rujuk membenarkan akses alat AI ke kedai anda.
Mengurus kedai anda daripada Claude
Penyambung Shopify untuk Claude berfungsi dengan kedai yang anda sambungkan kepadanya. Anda boleh menanya tentang kedai tempat penyambung disambungkan dan anda boleh menukar kepada kedai lain milik anda. Untuk menyemak cara fungsi menyambung dan menukar, rujuk membenarkan akses alat AI ke kedai anda.
Perkara yang boleh ditukar oleh penyambung bergantung pada akses data yang anda luluskan dan pada kebenaran pengguna anda.
Menambahkan dan mengedit produk
Anda boleh membina dan mengekalkan katalog produk anda daripada sembang anda. Penyambung menyokong tindakan produk yang berikut:
- Cipta produk dengan tajuk, perihalan, harga, varian, pilihan dan penjejakan inventori.
- Kemaskinikan tajuk, perihalan, status, imej, harga varian atau SKU produk.
- Namakan semula pilihan varian, seperti nama warna atau saiz.
- Cari katalog anda mengikut kata kunci, atau buka satu produk untuk mendapatkan butiran penuhnya.
- Tetapkan produk kepada aktif, draf atau diarkibkan dalam kelompok sehingga 50, sama ada dengan menamakan produk atau dengan memilih koleksi.
Contoh prom: Tambahkan Vanilla Bean Candle pada harga $24.95.
Namakan produk serta harga dan penyambung akan menulis perihalan serta mencipta produk tersebut. Jika anda menyertakan butiran seperti varian, tag atau penjejakan inventori, maka penyambung menggunakan perkara yang anda berikan dan bukannya menjana butiran itu sendiri.
Jika anda masih membuat keputusan tentang perkara yang ingin dijual, maka huraikan produk atau kategori dan minta cadangan. Penyambung menunjukkan sampel produk yang boleh anda semak imbas dan tambahkan pada kedai anda.
Mencari pesanan
Penyambung membaca pesanan anda tetapi tidak menukar pesanan tersebut. Penyambung ini menyokong tindakan pesanan yang berikut:
- Senaraikan pesanan baru-baru ini anda beserta pelanggan, jumlah dan status pembayaran serta status pemenuhan, sehingga 50 pada satu-satu masa.
- Buka satu pesanan untuk mendapatkan item baris, status pemenuhan, alamat pengiriman dan penjejakannya.
Contoh prom: Tunjukkan 10 pesanan saya yang terkini.
Minta pesanan yang anda inginkan mengikut nombor, tarikh atau status, dan kemudian tanya tentang satu pesanan untuk mendapatkan butirannya. Untuk mengedit, membuat bayaran balik atau membatalkan pesanan, gunakan pentadbir Shopify anda.
Menyemak analisis kedai anda
Penyambung menjawab soalan tentang jualan, pesanan, produk, pelanggan dan pemenuhan anda daripada data analisis kedai anda, dan mengembalikan hasil dalam bentuk jadual dan carta. Penyambung membaca data ini dan tidak mengubahnya.
Contoh prom: Tunjukkan jumlah jualan saya bagi 30 hari yang lalu, dipecahkan mengikut produk.
Tanya satu soalan pada satu-satu masa. Soalan yang pendek serta khusus berfungsi dengan paling baik, dan soalan yang melapiskan beberapa perbandingan dan penapis bersama-sama boleh gagal atau mengembalikan hasil yang sukar untuk dibaca. Soalan lain yang berfungsi dengan baik termasuklah Berapakah purata nilai pesanan saya pada bulan ini berbanding dengan bulan lepas? dan Berapa ramaikah pelanggan baharu berbanding dengan pelanggan yang kembali telah saya dapatkan pada bulan ini?
Menyusun produk ke dalam koleksi
Anda boleh menghimpunkan produk ke dalam koleksi dan menerbitkan produk tersebut ke kedai dalam talian anda. Penyambung menyokong tindakan koleksi yang berikut:
- Cipta koleksi manual daripada produk yang anda pilih.
- Cipta koleksi pintar daripada peraturan yang menambahkan produk yang sepadan secara automatik.
- Kemaskinikan tajuk, perihalan, imej, urutan isihan atau peraturan koleksi.
- Tambahkan produk pada koleksi yang sedia ada.
- Cari koleksi anda, atau buka satu koleksi untuk mendapatkan butirannya.
Contoh prom: Buat koleksi Hadiah Percutian dengan tiga produk terlaris saya.
Namakan koleksi dan beritahu produk yang tergolong dalam koleksi tersebut. Untuk membina koleksi yang mengekalkan koleksi itu sendiri, huraikan peraturannya pula, seperti setiap produk yang melebihi harga tertentu atau dengan tag yang khusus.
Mengurus inventori anda
Penyambung membaca dan menetapkan bilangan stok anda. Penyambung menyokong tindakan inventori yang berikut:
- Semak stok bagi setiap varian produk merentasi lokasi anda.
- Tetapkan kuantiti yang tersedia untuk item di lokasi yang khusus, dengan sebab seperti diterima, pembetulan atau rosak.
Contoh prom: Berapakah baki Vanilla Bean Candles? dan kemudian Tetapkan kepada 40.
Semak bilangan sebelum anda menukarnya. Penyambung membaca kuantiti semasa terlebih dahulu, jadi kemas kini berhenti dengan selamat jika bilangan bertukar selepas penyambung menyemaknya.
Mencari pelanggan
Penyambung membaca rekod pelanggan anda tetapi tidak menukarnya. Anda boleh mencari pelanggan mengikut nama, e-mel, lokasi atau tag, dan menyemak bilangan pesanan serta jumlah perbelanjaan setiap pelanggan.
Contoh prom: Tunjukkan pelanggan saya yang paling banyak berbelanja.
Namakan pelanggan atau huraikan kumpulan yang anda mahu. Untuk mengedit rekod pelanggan, gunakan pentadbir Shopify anda.
Mencipta kod diskaun
Penyambung mencipta kod diskaun potongan peratusan. Kod boleh terpakai kepada seluruh kedai anda, pada produk yang tertentu atau pada koleksi, dan anda boleh menambahkan keperluan pembelian minimum, tarikh mula serta peraturan untuk individu yang boleh menggunakannya.
Contoh prom: Buat kod potongan 15 peratus bernama COZY15.
Namakan kod dan peratusan dan penyambung akan meminta anda mengesahkan tarikh mula berserta individu yang boleh menggunakan kod tersebut. Penyambung mencipta kod tetapi tidak menukar kod yang sedia ada dan penyambung tidak mencipta diskaun jumlah tetap. Uruskan perkara tersebut dalam pentadbir Shopify anda.
Bekerja dengan halaman, menu dan data kedai yang lain
Beberapa bahagian pada kedai anda tiada tindakan khusus dalam penyambung dan sebaliknya penyambung ini berfungsi dengannya melalui Shopify Admin API. Ini meliputi halaman, blog, menu navigasi, medan meta, pasaran dan terjemahan anda. Penyambung akan meminta anda membuat pengesahan sebelum ia membuat perubahan seperti ini.
Contoh prom: Cipta halaman Perihal tentang kisah jenama saya dan Tambahkan halaman Perihal saya pada menu utama saya dan labelkannya sebagai Tentang kami.
Nyatakan perkara yang ingin anda cipta atau ubah, serta tempatnya. Hasil mungkin lebih berbeza-beza untuk perubahan ini berbanding tindakan yang mempunyai nama khusus, oleh itu, semak perkara yang dibina oleh penyambung dalam pentadbir Shopify anda sebelum anda bergantung padanya.
Menyemak nama tindakan dalam sembang anda
Setiap tindakan yang diambil oleh penyambung mempunyai nama, dan nama tersebut dipaparkan dalam sembang anda semasa tindakan itu dijalankan. Semak jadual berikut untuk menyemak fungsi sesuatu tindakan.
| Nama tindakan | Fungsinya |
|---|---|
add-to-collection | Menambahkan produk pada koleksi yang sedia ada. |
bulk-update-product-status | Menetapkan hingga 50 produk pada satu masa kepada aktif, draf atau diarkibkan. |
claim-storefront-preview | Memulakan pendaftaran untuk pratonton laman kedai yang telah anda pilih untuk dituntut. |
create-collection | Mencipta koleksi manual atau pintar dan menerbitkannya pada kedai dalam talian anda. |
create-discount | Mencipta kod diskaun potongan peratusan. |
create-product | Mencipta produk, termasuk varian, pilihan dan penjejakan inventorinya. |
find-sample-product | Mengembalikan sampel produk untuk kategori yang anda namakan, untuk anda semak imbas dan tambahkan pada kedai anda. |
get-collection | Mengembalikan tajuk, perihalan, imej, produk dan peraturan bagi satu koleksi. |
get-inventory-levels | Mengembalikan stok untuk setiap varian bagi sesuatu produk merentasi lokasi anda. |
get-new-store-previews | Menjana pratonton laman kedai daripada perihalan ringkas tentang perniagaan anda. |
get-order | Mengembalikan item baris, status pemenuhan, alamat pengiriman dan penjejakan bagi satu pesanan. |
get-product | Mengembalikan tajuk, status, vendor, varian, imej, tag dan inventori bagi satu produk. |
get-shop-info | Mengembalikan nama, domain, e-mel, pelan, mata wang, zon masa dan negara kedai yang disambungkan. |
get-storefront-generation | Menyemak sama ada pratonton laman kedai anda telah selesai dijanakan. |
graphql_mutation | Membuat perubahan melalui Shopify Admin API pada bahagian kedai anda yang tiada tindakan khusus. |
graphql_query | Membaca data melalui Shopify Admin API daripada bahagian kedai anda yang tiada tindakan khusus. |
graphql_schema | Mengembalikan bahagian Shopify Admin API yang boleh digunakan oleh permintaan. |
list-customers | Mengembalikan pelanggan anda dengan nama, e-mel, telefon, kiraan pesanan dan jumlah perbelanjaan mereka. |
list-orders | Mengembalikan pesanan terbaharu anda dengan pelanggan, jumlah serta status pembayaran dan pemenuhan. |
run-analytics-query | Menjalankan pertanyaan ShopifyQL terhadap data analisis kedai anda. |
search_collections | Mencari koleksi anda mengikut kata kunci atau mengikut penapis seperti tajuk atau jenis koleksi. |
search_docs_chunks | Mencari dokumentasi Shopify untuk mendapatkan jawapan bagi soalan tentang platform ini. |
search_products | Mencari katalog anda mengikut kata kunci atau mengikut penapis seperti harga, tag atau status. |
set-inventory | Menetapkan kuantiti yang tersedia untuk item di satu lokasi, dengan alasan perubahan. |
switch-shop | Beralih pada kedai lain yang anda miliki dan meminta anda memberikan kebenarannya. |
update-collection | Mengemas kini tajuk, perihalan, imej, urutan isihan atau peraturan bagi satu koleksi. |
update-product | Mengemas kini tajuk, perihalan, status, imej, harga varian atau SKU bagi satu produk. |
validate_graphql_codeblocks | Menyemak kesilapan permintaan Shopify Admin API sebelum permintaan itu dijalankan. |
Mendapatkan hasil terbaik daripada penyambung Shopify untuk Claude
Sebut nama Shopify supaya Claude menggunakan penyambung dan tidak menjawab melalui pengetahuan am, dan sahkan bahawa penyambung dihidupkan untuk perbualan anda. Jika penyambung dimatikan, atau jika anda tidak menyebut nama Shopify, maka Claude kadangkala akan membalas dengan arahan untuk pentadbir Shopify anda dan tidak membuat perubahan untuk anda.
Tetapkan satu tugasan pada satu-satu masa untuk setiap permintaan anda. Khususnya untuk soalan analisis, kaedah terbaik adalah dengan bertanya secara ringkas dan khusus, oleh itu tanya soalan susulan berbanding dengan menyertakan beberapa perbandingan dan penapis dalam satu permintaan.
Had penyambung Shopify untuk Claude
Pentadbir Shopify anda ialah tempat utama untuk mengurus perniagaan anda. Penyambung boleh membantu anda memulakan kedai dan mengendalikan beberapa tugasan, tetapi penyambung ini tidak akan menggantikan pentadbir Shopify anda, dan tidak akan menggantikan Sidekick, iaitu pembantu AI di dalam pentadbir Shopify anda.
Alat AI yang disambungkan berfungsi mengikut akses data yang diluluskan oleh anda dan sesetengah perubahan pada kedai anda hanya boleh dibuat dalam pentadbir Shopify anda. Semak pertimbangan yang berikut:
- Menyunting tema aktif anda: Alat AI yang disambungkan boleh menukar tema yang belum diterbitkan, tetapi alat tersebut tidak boleh menyunting tema aktif anda, menerbitkan tema atau memadamkan tema. Untuk menukar reka bentuk laman kedai anda, buat salinan tema anda dalam pentadbir Shopify anda, biarkan alat itu menyunting salinan tersebut, kemudian terbitkan salinan tersebut sendiri.
- Menukar tetapan kedai: Alat AI yang disambungkan tidak boleh menukar tetapan seperti pelan, pembayaran, cukai atau domain anda.
- Menyunting data tanpa akses tulis: Alat AI yang disambungkan boleh membaca data tetapi tidak boleh mengubahnya, melainkan anda meluluskan akses tulis. Akses juga bergantung pada kebenaran akaun kakitangan yang alat itu gunakan untuk bertindak. Sesetengah tindakan penyambung bersifat baca sahaja secara reka bentuk, yang dikawal oleh penyedia alat AI tersebut.
- Memindahkan wang atau menukar pesanan yang telah dibayar: Alat AI yang disambungkan tidak boleh mengeluarkan bayaran balik, membatalkan atau merekodkan pesanan, menandakan pesanan sebagai telah dibayar, memproses pemulangan, atau mencipta dan melaraskan kad hadiah. Tindakan ini akan disekat walaupun apabila anda meluluskan akses tulis.
- Menukar berbilang item secara serentak: Alat AI yang disambungkan menukar item satu per satu, jadi kelompok yang besar mungkin terhenti separuh jalan, dan sesetengah tindakan hanya meliputi nombor item yang terhad. Jika kelompok tidak selesai, lengkapkannya dalam pentadbir Shopify anda.
- Menyelesaikan persediaan kedai anda: Alat AI yang disambungkan boleh membantu melakukan sesetengah tugasan, tetapi pentadbir Shopify anda masih diperlukan untuk pembayaran, cukai, domain dan kesediaan pelancaran.
Pratonton laman kedai ialah titik permulaan dan bukannya kedai yang telah siap. Tema dipadankan dengan pratonton yang anda pilih, dan pratonton ini boleh menyertakan sampel kandungan. Sebelum anda mula menjual, semak dan kemaskinikan nama produk, perihalan, imej, harga, dasar kedai, tetapan pengiriman dan pembayaran, dan tetapan domain anda dalam pentadbir Shopify anda.
Memasang penyambung Shopify untuk Claude
Penyambung Shopify untuk Claude tidak tersedia di Shopify App Store. Anda akan memasang penyambung ini daripada Claude, pada halaman pemasangan penyambung Shopify untuk Claude. Memasang penyambung ini akan menyambungkan Claude kepada Shopify dan mengubah hala anda kepada pentadbir Shopify anda untuk meluluskan akses data yang diminta oleh penyambung.
Gunakan pelayar desktop untuk membuat persediaan. Ketersediaan penyambung pada peranti mudah alih bergantung pada Claude.
Untuk mendapatkan aliran pemberian kebenaran yang lengkap, termasuk cara untuk meluluskan tahap akses data, beralih kedai dan membatalkan akses, rujuk pada bahagian memberikan kebenaran akses alat AI pada kedai anda.
Mendapatkan bantuan dengan penyambung Shopify untuk Claude
Tempat anda mendapatkan bantuan bergantung pada sama ada isu itu berkaitan dengan Claude atau kedai Shopify anda. Jika anda tidak pasti pihak yang perlu dihubungi, mulakan dengan tempat anda menyedari isu tersebut: Claude atau pentadbir Shopify anda.
Hubungi Anthropic untuk isu dengan Claude sendiri, seperti log masuk ke Claude, langganan Claude anda, akses penyambung atau Claude tidak dimuatkan. Untuk mendapatkan bantuan daripada Anthropic, rujuk penggunaan penyambung untuk memperluas keupayaan Claude.
Hubungi Sokongan Shopify untuk isu dengan akaun Shopify anda atau kedai anda. Untuk pecahan mengenai pihak yang perlu dihubungi bagi setiap jenis isu, rujuk mendapatkan bantuan dengan kedai yang dicipta menggunakan alat AI atau rakan kongsi kod suasana.
Jika Claude masih membalas dengan nasihat selepas anda meminta penyambung Shopify berdasarkan nama dan mengesahkan penyambung telah dihidupkan, isu tersebut adalah berkaitan dengan akses penyambung dalam Claude dan bukannya dengan kedai Shopify anda.
Jika anda menukar penyambung kepada kedai lain dan penyambung tersebut terus meminta anda untuk memberikan kebenaran kepada kedai yang ditinggalkan, mulakan perbualan baharu. Perbualan yang dimulakan sebelum anda menukar kedai boleh terus menggunakan hubungan sebelumnya.